IMPIAN buka kedai emas tercapai.
IMPIAN buka kedai emas tercapai.
Najiy Jefri


MELAYARI bahtera perkahwinan pada April tahun lalu sudah pasti banyak memori indah sudah dilakar aktres jelita, Nelydia Senrose bersama suaminya, Mohd Hafez Halimi.

Meskipun ujian dan cabaran sudah menjadi satu lumrah kepada pasangan berumah tangga, namun itu asam garam yang mengeratkan hubungan suami isteri.

Melihat kebahagiaan Nelydia dan Hafez, ternyata pasangan ini cukup romantis apabila menjalani kehidupan yang penuh warna dan bahagia di media sosial.

Kata Nelydia, dia bersyukur dikurniakan suami yang sangat positif dan memahami minatnya terhadap industri seni hiburan serta perniagaan.

“Saya beruntung dapat suami yang sentiasa menyokong apa saja minat dan perkara nak dilakukan. Hafez akan berada di sisi dan memberikan tunjuk ajar, terutama selok-belok dunia perniagaan yang dia sangat pakar.

“Malah, sehingga kini dia juga tidak pernah melarang saya untuk terus aktif berlakon. Hafez begitu mengalakkan saya untuk mengejar segala impian yang ingin dicapai.

“Bagi Hafez, asalkan apa yang saya nak buat itu boleh membahagiakan dan sihat untuk diri, dia tidak melarang.

“Sebagai isteri, saya tahu batas selain perlu menjaga diri supaya tidak menghancurkan kepercayaannya. Saya kena tahu status yang digalas sekarang,” katanya.

Nelydia juga tidak menafikan di awal perkahwinannya, terbit rasa kekok dalam diri untuk menguruskan suaminya. Namun, hampir 10 bulan berkahwin perkara itu bukan lagi satu masalah.

“Biasalah, awal perkahwinan pasti kekok untuk memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Ini kerana, jika dulu saya hanya perlu uruskan diri sendiri dan menjaga keluarga, tetapi kini tanggungjawab menjadi makin besar.

“Alahmdulillah, sekarang saya sudah biasa menjalani kehidupan bersama Hafez, walaupun banyak lagi peluang dan ruang yang perlu dipelajari.

“Jujur diakui, Hafez banyak bertoleransi dengan saya. Mungkin jarak usia kami membuatkan dia banyak mengajar dan bersabar.

“Apapun, kami sama-sama belajar dan dia tidak pernah memaksa saya untuk menjadi isteri yang hebat,” katanya.

Nelydia berkata, suaminya memberi dia ruang dan kebebasan untuk mencorakkan kehidupan rumah tangga mereka supaya kekal harmoni.

Idam zuriat pertama

Tatkala ditanya soalan mengenai zuriat, Nelydia berkata, lambat atau cepat mereka dikurniakan anak itu adalah rezeki dan ketentuan Allah SWT.

“Siapa yang tak mahu anak. Sudah tentu saya mengharapkan zuriat seperti pasangan lain yang berkahwin. Namun saya dan suami tidak terburu-buru atau berasa tertekan.

“Bagi saya, rezeki anak di tangan Tuhan. Andai belum tiba, saya okey saja. Lagipun perkahwinan ini masih baru, jadi ada baiknya kami menikmati kehidupan ini dahulu,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya seni lakonnya, Nelydia berkata, dia bakal menjalani penggambaran drama bersiri terbaru pada Mac ini.

NELYDIA bahagia hidup sebagai isteri.
NELYDIA bahagia hidup sebagai isteri.

“Insya-Allah saya akan terbabit dengan drama berjudul Cinta Sekali Lagi untuk slot Akasia di TV3.

“Tahun ini, saya mengharapkan lebih banyak tawaran naskhah yang mencabar kredibiliti saya sebagai pelakon. Saya nak cuba bawa karakter yang berbeza,” katanya.

Perniagaan kedai emas

Sementara itu, Nelydia turut meluahkan rasa syukur apabila impian untuk membuka sebuah kedai emas tercapai, sekali gus mengeratkan lagi hubungannya dengan peminat.

Berpangkalan di Plaza Damas 3, Taman Sri Hartamas, Nelydia mengaku teruja apabila dia dapat berkongsi minat yang sama khususnya kepada kaum hawa yang menyukai emas dan batu permata.

“Saya tidak menjangka perniagaan emas yang baru diusahakan ini mendapat sokongan pelbagai pihak serta menyatukan saya dengan peminat dan rakan wanita kerana masing-masing obses pada barangan kemas.

“Lagipun, barangan kemas ini juga dekat dengan jiwa setiap wanita umpama ‘kawan baik’. Justeru, saya nekad untuk mengusahakan perniagaan ini dan bersyukur mendapat maklum balas dan sambutan luar biasa,” katanya.

Menurut Nelydia, walaupun duit simpanan hasil kerja keras bergelar anak seni dihabiskan untuk mengusahakan kedai emas dikenali Nelydia Jewels itu, dia sangat berpuas hati dan bersyukur

“Tidak dinafikan perniagaan ini memerlukan modal yang besar selain mengambil masa lama untuk menyimpan wang serta perlu membuat pelaburan dengan betul.

“Saya nak perniagaan diusahakan ini kekal untuk jaminan masa depan. Apapun, saya bersyukur duit simpanan selama beberapa tahun akhirnya membawa saya untuk membuka perniagaan dengan bantuan dan sokongan suami tercinta,” katanya.

Nelydia berkata, doakan semoga perniagaannya berjalan lancar kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan termasuk tampil dengan pelbagai koleksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 6:00 AM