GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Noor Hidayah Tanzizi


Sungai Buloh: Usaha selama lebih tiga dekad Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pencegahan jangkitan, kawalan dan rawatan Antiretroviral (ARV) berada di landasan terbaik.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib berkata, kes jangkitan HIV di negara ini menurun 70 peratus di antara tahun 2002, di mana kadar notifikasi adalah tertinggi dengan 28.5 kes per 100,000 penduduk dan 2021, dengan kadar notifikasi 8.4 kes per 100,000 penduduk.

Menurutnya, mereka yang mendapatkan rawatan ARV melonjak dari kurang 6,000 penerima pada 2005 kepada lebih 44,916, tahun lalu dan akan terus meningkat.

"Bilangan kanak-kanak di bawah 13 tahun yang dijangkiti HIV juga semakin berkurangan dari 86 kes pada 2000 kepada 10 kes pada 2021. Ini adalah bukti kejayaan program pencegahan HIV dari ibu ke anak (PMTCT) yang dilaksanakan sejak 1998.

"Kita perlu terus menggandakan usaha untuk memastikan mereka yang hidup dengan HIV menerima rawatan ARV secara percuma serta dapat meneruskan kehidupan sempurna dan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara," katanya.

Sehingga akhir tahun lalu, 128,638 orang dijangkiti HIV sejak kes pertama yang dilaporkan pada 1986 dengan 60,816 orang meninggal dunia.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Persidangan Kebangsaan MyHIV Forum dengan tema 'Getting Prepped for 2030' di sini, hari ini.

Katanya, dengan rawatan itu mereka dijangkiti HIV akan dapat mengurangkan jumlah virus dalam badan dan mereka akan dapat kesihatan seperti orang tidak dijangkiti.

"Dengan rawatan ini juga, ia dapat mengelakkan berlaku jangkitan oportunistik serta penyakit lain kepada mereka kerana tahap immuniti mereka kembali kepada aras baik.

"Pemberian ARV ini juga dapat mengurangkan transmisi jangkitan khususnya transmisi melalui seksual hingga kepada lebih 95 peratus," katanya.

DR Leong (kanan) bersama Dr Asmayani melakukan gimik perasmian Forum MyHIV 2022. FOTO Owee Ah Chun
DR Leong (kanan) bersama Dr Asmayani melakukan gimik perasmian Forum MyHIV 2022. FOTO Owee Ah Chun

Sementara itu, Pengerusi My HIV Forum, Dr Leong Chee Loon berkata, Malaysia komited mencapai sasaran 95-95-95 seperti yang ditetapkan oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-69 di New York pada 2016.

"Ini juga adalah sejajar dengan usaha Kementerian Kesihatan untuk mengakhiri AIDS pada tahun 2030 dengan memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus mereka yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka, 95 peratus menerima rawatan ARV dan 95 peratus yang menerima rawatan memiliki kualiti kehidupan yang baik.

"Bukti saintifik menunjukkan rawatan ARV bukan sahaja dapat mengurangkan kematian berkaitan HIV dan AIDS tetapi juga mengurangkan transmisi jangkitan HIV," katanya.

Beliau berkata, forum itu menyasarkan penumpuan kepada peningkatan rawatan HIV yang merangkumi pengesanan awal dan rawatan HIV, pengekalan dan mengekalkan penindasan 'viral load' kepada orang yang hidup dengan HIV (PLHIV) dan ARV.

"Ia juga menekankan cara melaksanakan perkhidmatan PrEP untuk mengurangkan penularan HIV selain membincangkan isu stigma dan diskriminasi terhadap KP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 3:08 PM