Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan seramai 3,451 individu menyertai program pencegahan HIV, Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak projek perintis itu dimulakan pada Januari, tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PrEP adalah kaedah pencegahan HIV yang berkesan dan terbukti secara saintifik dapat mencegah sehingga ke paras 99 peratus penularan HIV secara seksual.

Katanya, projek itu dilaksana di 18 klinik kesihatan dan ditambah tiga lagi klinik pada pertengahan tahun 2023, menjadikan keseluruhan 21 klinik.

"Berdasarkan analisis awal, sehingga bulan keenam dan ke-12 penggunaan PrEP, terdapat penurunan kadar jangkitan penyakit Syphilis iaitu daripada 11 peratus kepada 6.5 peratus selepas enam bulan dan 1.3 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP.

"Peratus klien yang sentiasa menggunakan kondom meningkat daripada 30 peratus kepada 38.6 peratus selepas enam bulan dan 44 peratus selepas

12 bulan penggunaan PrEP.

"Peratus klien yang mempunyai hanya satu pasangan seksual (monogamous) juga meningkat daripada 7.2 peratus kepada 19.4 peratus selepas enam bulan dan 29.6 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status terkini program PrEP kepada individu

yang mempunyai pasangan HIV positif, terutama yang mengamalkan seks

bebas dan seks songsang dalam keadaan belum ada keputusan daripada pihak Majlis Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) atau Jawatankuasa

Fatwa.

Mengulas lanjut Dr Dzulkefly berkata, terdapat 51 klien berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko.

"Terdapat tiga kes positif HIV atau 0.09 peratus kerana pengguna tidak patuh kepada pengambilan PrEP. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain yang melaksanakan PrEP lebih awal," katanya.

Menurutnya, hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten serta perubahan tingkah laku yang lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP.

Dalam pada itu, beliau berkata program PrEP dijangka diperluas kepada 10 lagi klinik pada tahun ini dengan jangkaan keseluruhan klinik terbabit adalah 31 klinik di 14 negeri.

Dr Dzulkefly berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 23 hingga 24

Julai 2023 telah mengeluarkan fatwa hukum harus bagi pengamal perubatan memberikan PrEP untuk mencegah penularan HIV.

"Bagaimanapun, individu yang mengambil PrEP untuk menggalakkan

dirinya melakukan seks bebas atau songsang adalah haram," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhujah pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhujah pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 12:25 PM