RAWATAN 'pre-exposure prophylaxis' (PrEP) akan dimulakan di klinik kesihatan pada 2023.
RAWATAN 'pre-exposure prophylaxis' (PrEP) akan dimulakan di klinik kesihatan pada 2023.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


JANGKITAN baharu HIV/AIDS di Malaysia menurun 70 peratus dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.

Liputan rawatan ubat antiretroviral (ARV) kepada orang yang menghidap HIV (ODHA) dipertingkatkan kepada 66 peratus pada 2021 berbanding 28 peratus pada 2015.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada kenyataan berkata, kadar penurunan kes HIV dan peningkatan liputan rawatan ini bagaimanapun masih belum mencukupi untuk negara membendung AIDS sehingga tidak menjadi isu kesihatan awam menjelang 2030.

Namun, jelasnya, ketidaksamaan masih menjadi penghalang kepada usaha ini.

"Bagi memastikan kesaksamaan dicapai, ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan rawatan, ujian dan pencegahan HIV mesti dipertingkatkan supaya semua orang mendapat perkhidmatan terbaik.

"Ujian dan rawatan HIV/AIDS akan terus diperkukuh serta dipertingkatkan dengan memperkenalkan saringan HIV kendiri untuk menarik lebih ramai dalam kalangan populasi kunci dan pasangan menjalani saringan, seterusnya rawatan," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan differentiated HIV service for key populations model KK 2.0 yang kini dilaksanakan di 31 klinik kesihatan dengan kerjasama pintar kerajaan - pertubuhan bukan kerajaan (GO-NGO) akan diperluaskan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan khusus kepada populasi kunci.

"Konsep U=U (U equal to U) atau tidak lagi dikesan = tidak boleh menjangkiti individu lain adalah pendekatan atau konsep penting dan terbukti berkesan mengekang jangkitan HIV.

"ODHA mengambil ubat ARV mengikut jadual ditetapkan, boleh hidup seperti individu normal (tanpa HIV) kerana virus tidak lagi dikesan dan secara amnya tidak boleh menjangkiti individu lain.

JANGKITAN baharu HIV/AIDS di Malaysia menurun 70 peratus.
JANGKITAN baharu HIV/AIDS di Malaysia menurun 70 peratus.

"Menjadi sasaran KKM untuk meningkatkan rawatan ARV dalam kalangan ODHA. Bagi pasangan kepada ODHA, rawatan

pre-exposure prophylaxis (PrEP) akan dimulakan di klinik kesihatan pada 2023," katanya.

Katanya, rawatan PrEP, pada amnya berkemampuan mengurangkan risiko mendapat jangkitan HIV melalui seks bebas sebanyak 99 peratus apabila ia diambil mengikut preskripsi ditetapkan.

"Isu stigma dan diskriminasi terus dikekang bagi memastikan perkhidmatan HIV/AIDS lebih mesra dapat diberikan.

"Program pengurangan stigma dan diskriminasi melalui pendekatan peningkatan kualiti dijalankan di fasiliti kesihatan berjaya mengurangkan stigma serta diskriminasi terhadap ODHA dalam kalangan kakitangan kesihatan.

"Program ini diperluaskan di 55 sekolah di seluruh negara," katanya.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2020 dalam kalangan beliau berumur 15 hingga 24 menunjukkan hanya 14 peratus mempunyai pengetahuan HIV mencukupi.

Manakala 47.9 peratus mempunyai persepsi salah HIV boleh disebar melalui makanan.

Sebanyak 41.6 peratus daripada mereka tahu amalan seks selamat boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV.

Perkara ini boleh membantutkan usaha pencegahan penularan HIV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 7:00 AM