ANWAR hadir ke mesyuarat khas parti di Ibu Pejabat PKR. FOTO Hazreen Mohamad
ANWAR hadir ke mesyuarat khas parti di Ibu Pejabat PKR. FOTO Hazreen Mohamad
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembubaran Parlimen hari ini sebagai pengkhianatan kepada rakyat yang dihimpit pelbagai masalah dan bencana.

Presiden PKR itu mengakui akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pembubaran Parlimen, namun mempersoal niat pihak yang didakwa gelojoh mahukan pilihan raya diadakan ketika ini.

Beliau juga berpandangan, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika ini bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihatkan supaya agensi kerajaan dan semua rakyat bersedia berdepan risiko banjir.

"Tampaknya, Kabinet yang paling besar dalam sejarah negara ini tewas dan tunduk kepada tekanan dan kedurjanaan politik yang berkiblatkan kuasa dan wang ringgit.

"Langkah ini ternyata suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia di bawah yang kini terbeban dengan kenaikan harga barang yang tinggi, gaji yang rendah, peluang pekerjaan yang tidak cukup untuk siswazah, kualiti pendidikan, akses yang sangat rendah kepada kesihatan, simpanan yang tidak munasabah untuk usia persaraan, serta yang paling utama ancaman musibah banjir dan dampak buruk dari kemelut alam dan iklim.

"Manusia, parti politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihan raya pada saat ini," soal Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.

Petang tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Anwar menyifatkan pelaksanaan PRU-15 dalam tempoh terdekat sebagai 'penipuan' kerana pilihan raya ketika ini memberi risiko dan menyukarkan proses undian bagi sesetengah rakyat, selain menyifatkannya sebagai cubaan menghalang pengundi daripada melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan penyokongnya perlu keluar mengundi dalam usaha membetulkan masalah yang berlaku dalam negara, antaranya kegagalan kerajaan mengemudi negara ketika pandemik Covid-19.

"Kerajaan yang sama juga bohong kepada rakyat dan negara terkait aplikasi MySejahtera dan skandal Digital Nasional Berhad (DNB). Kerajaan ini juga berdusta berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ternyata kerajaan yang sama juga menipu tentang pemerolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan juga mengenai membendung kemiskinan dan akses kepada pendidikan dan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 10:47 PM