Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Jangan ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Respons berkenaan diberikan Naib Presiden Umno itu ketika diminta mengulas mengenai tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Ismail Sabri berkata, tarikh PRU-15 juga masih belum dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Menurutnya, sebarang tarikh pembubaran Parlimen perlu disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kena tunggu dulu… ini semua (pembubaran Parlimen) perlu dibincangkan bersama Yang di-Pertuan Agong… kalau kita letak tarikh sendiri nanti, Yang di-Pertuan Agong kata kita ambil alih kuasa Baginda.

"Jadi jangan kita ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Kelab Naib Ketua Bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menurutnya, tarikh pembubaran Parlimen dan PRU-15 akan dibincangkan di peringkat parti terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Katanya, perbincangan di peringkat parti juga perlu diadakan disusuli perbincangan lanjut.

Isu pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan menjadi antara tumpuan dalam Perhimpunan Agung Umno 2021 bermula semalam.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Sayap-Sayap Umno malam semalam menegaskan kini adalah masa yang sesuai untuk PRU-15 diadakan.

Ia susulan kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk membentuk kerajaan di Melaka dan Johor dengan majoriti besar selain kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Selain itu, faktor perpecahan dalam kem parti lawan juga menjadikan gabungan itu semakin lemah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 5:17 PM
 Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perjumpaan bersama Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perjumpaan bersama Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. FOTO BERNAMA