Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan pembubaran Parlimen hari ini, meskipun 12 menterinya sebelum ini ada mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pembubaran yang menyaksikan PRU-15 bakal diadakan adalah berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tuntutan Perlembagaan.

"Hari ini apabila Perdana Menteri telah umumkan bahawa pembubaran Parlimen telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kami PN menerima keputusan kerana ia berlandaskan Perlembagaan negara.

"Apabila diumumkan ia keputusan berlandaskan Perlembagaan negara, kami hormati itu walaupun sebelum ini PN telah memberi pandangan kerana situasi semasa ini tidak berapa sesuai.

"Itu telah kita berikan pandangan tetapi bagaimana keputusan dicapai dan Yang di-Pertuan Agong telah perkenan, maka kita hormati keputusan itu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat PN Pahang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut pembubaran Parlimen hari ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendoakan supaya proses perjalanan PRU-15 tidak terganggu dengan ramalan cuaca yang bakal berlaku nanti.

"Kita bersama-sama berdoa agar situasi tak jadi buruk bagi membolehkan rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Ini amat penting supaya dapat bersama-sama menyelamatkan negara kita daripada terus berhadapan pelbagai isu merangkumi kestabilan politik, ekonomi bertambah sulit, rakyat yang tanggung beban post (selepas) pandemik dan pelbagai lagi," katanya.

MUHYIDDIN (tengah) ketika sidang media Pelancaran PN Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
MUHYIDDIN (tengah) ketika sidang media Pelancaran PN Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 7:13 PM