ISMAIL Sabri menyampaikan ucapan ketika sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri menyampaikan ucapan ketika sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menjawab dakwaan DAP bahawa beliau tidak konsisten berhubung bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan berkata, tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan laluan kepada PRU15 adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri berkata sebagai Perdana Menteri walaupun beliau diberi mandat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menasihatkan Seri Paduka berhubung pembubaran Parlimen namun Al-Sultan Abdullah boleh menolak sekiranya tidak bersetuju.

"Eloklah kalau (kenyataan) 'flip flop' supaya mereka (DAP) tak tahu bila saya nak adakan PRU15. Cuba tengok daripada kenyataan perdana menteri terdahulu, ada tak mereka menetapkan tarikh pilihan raya. Kalau tanya (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) waktu itu dia kata saya (Dr Mahathir) belum dapat ilham.

"Jadi saya tak boleh katakan tarikh tertentu, kalau saya sebut tarikh, saya dah mendahului Yang di-Pertuan Agong, salah dari segi perlembagaan. DAP punya perangai mungkin dia tak hormat Yang di-Pertuan Agong tapi saya hormat Yang di-Pertuan Agong dan saya patuh pada perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Taman Tugu, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini menyelar perdana menteri kerana pendirian yang didakwa "tidak konsisten" mengenai PRU15.

Ini susulan kenyataan Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo dilaporkan sebagai berkata PRU15 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun dalam ucapannya di Konvensyen Barisan Nasional pada Rabu lalu beliau mengatakan tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen walaupun sesaat jika gabungan itu telah bersedia.

Ismail Sabri berkata soal bila PRU15 turut akan dibincangkan bersama Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO serta Mesyuarat Tertinggi Barisan Nasional sebelum dibawa ke Kabinet dan seterusnya untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 5:51 PM