Azhar Azizan.
Azhar Azizan.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan beliau sudah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa hari ini.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, ia ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menjalankan kuasa yang diberikan kepada baginda di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, persidangan Majlis Dewan Rakyat, persidangan Kamar Khas, mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas yang dijadualkan sebelum ini adalah dibatalkan selaras dengan pembubaran Parlimen Ke-14.

"Justeru, urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pilihan raya umum," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan pada 3 petang hari ini, selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 6:12 PM