Perdana Menteri menyampaikan penajaan kepada
Perdana Menteri menyampaikan penajaan kepada
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Pemalu dan pernah ditertawakan ketika berucap hingga timbul rasa trauma namun semua itu berjaya diketepikan Muhammad Amirul Nazmi Sam, 18, yang menjadi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Kejayaannya memperoleh keputusan 9A melayakkan dirinya menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).

Muhammad Amirul Nazmi dari Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu bersyukur kerana terpilih mengikuti PESP dan bakal melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK).

"Alhamdulillah, terima kasih kepada PETRONAS kerana segala perbelanjaan pengajian saya di UK akan dibiayai sepenuhnya.

"Saya melihat dengan pendidikan seseorang dapat merubah nasib keluarga dan sedar kesusahan kedua ibu bapa selama ini menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya," katanya.

Menurutnya, di awal persekolahannya dia adalah seorang yang pendiam dan pemalu selain pernah ditertawakan sewaktu di darjah lima ketika membuat pengucapan awam hingga timbul perasaan trauma.

Katanya, semuanya berubah sebaik sahaja dia mendaftarkan diri sebagai pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Sains Dungun.

"Sewaktu minggu suai kenal, saya diberikan tugasan sebagai ahli jawatankuasa yang memerlukannya berurusan dengan pelbagai pihak.

"Ternyata pengalaman tersebut adalah titik perubahan buat saya dalam meningkatkan keyakinan diri seterusnya mencipta kecemerlangan dalam hidup dengan memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan SPM 2021.

"Keputusan SPM itu melayakkan saya melanjutkan pengajian ke UK dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dan saya bercita-cita untuk menjadi pakar dalam bidang IT," katanya

Menurutnya, bapanya seorang buruh, manakala ibunya adalah seorang tukang cuci namun ia tidak menghalang dirinya untuk mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, seramai 103 pelajar di negeri ini yang cemerlang di dalam SPM tahun lalu menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, mereka adalah di antara 600 pelajar terpilih daripada 9,000 calon seluruh negara yang memohon pada tahun ini.

Menurutnya, PETRONAS kekal komited untuk terus menyumbang kepada pembinaan negara dan pembangunan bakat tenaga kerja kami melalui pelbagai program dan inisiatif selama lebih empat dekad.

"Kami percaya bahawa pendidikan berkualiti akan memperkasakan komuniti, seterusnya menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara ke arah masa depan yang mampan.

"Sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia, termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program PESP mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion," katanya.

Menurutnya, PESP 2022 menyaksikan jumlah tajaan tahunan tertinggi oleh PETRONAS dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta.

Katanya, setiap pelajar terpilih, akan menerima tajaan pengajian asasi sehingga ijazah sarjana muda pertama dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geosains, ekonomi, undang-undang serta kursus lain berkaitan industri di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Australia, China, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 12:45 PM