Penerima Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS 2019 bergambar bersama tetamu kehormat. Gambar kecil Tengku Muhammad Ashraf FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Penerima Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS 2019 bergambar bersama tetamu kehormat. Gambar kecil Tengku Muhammad Ashraf FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Hanneeyzah Bariah Baharin


“TERIMA kasih ayah kerana tegas mendidik hingga pernah mengurung saya dalam reban ayam kerana tak mahu ke sekolah ketika Tahun Satu.

“Hari ini saya sangat gembira dapat membanggakan ibu ayah dan menunaikan impian mereka apabila terpilih dalam Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2019 untuk melanjutkan pengajian ke United Kingdom.”

Pengalaman dan kegembiraan itu dikongsi Tengku Muhammad Ashraf Tengku Mamat, 18, dari Kampung Jerangau, Dungun.

Anak bongsu daripada enam beradik itu yang memperoleh 7A+ dan 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 bakal melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Kolej Yayasan UEM selama dua tahun sebelum ke United Kingdom di bawah tajaan PESP.

“Saya tak sangka terpilih melanjutkan pengajian ke luar negara di bawah PESP 2019 kerana ujian memang sukar dan ini juga berkat doa ayah, Tengku Mamat Tengku Ngah, 67, dan ibu, Che Hasimah Ismail, 51.

“Saya berazam belajar bersungguh-sungguh dan mahu mengubah nasib keluarga serta membalas jasa mereka.

“Penat lelah ayah bekerja sebagai pemandu lori untuk menyara kami sekeluarga sebelum bersara tidak akan saya lupakan,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur.

Dia ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS 2019 di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Batu Rakit.

Ia disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Pelajar lain, Nor Nadirah Mohd Nor, 18, dari Merang yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Petroleum berbangga dapat menggembirakan ibu bapanya, Mohd Nor, 62, dan Noraini Yaacob, 58, menerima tajaan PESP walaupun hanya belajar di dalam negara.

“Alhamdulillah, terpilih untuk menerima tajaan PESP pun sudah cukup menggembirakan dan ini langkah awal untuk saya mencapai cita-cita dalam bidang kejuruteraan geo sains dan membalas jasa ayah yang banyak berkorban demi melihat saya dan adik beradik lain berjaya.

“Sedih juga hari ini ayah yang bekerja sebagai nelayan tidak dapat hadir kerana ke laut mencari rezeki.

“Terima kasih kepada PETRONAS kerana memilih saya menerima tajaan ini,” katanya yang akan melanjutkan pengajian Asas Kejuruteraan di Universiti Teknologi Petronas.

Sementara itu Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman berkata, PETRONAS memperuntukkan RM156 juta untuk PESP 2019 bagi membiayai pengajian 400 pelajar terpilih di seluruh negara termasuk 40 pelajar dari Terengganu.

“Mereka adalah 400 pelajar yang terpilih daripada 7,355 calon seluruh negara yang memohon tahun ini dan PESP adalah sebahagian usaha serta sokongan PETRONAS kepada usaha kerajaan dalam membentuk pembinaan negara bangsa yang inklusif dan berdaya maju.

“Mereka yang terpilih ini akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang antaranya kejuruteraan kimia dan mekanikal, geofizik, undang-undang dan kursus berkaitan minyak dan gas di UTP serta universiti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, Jepun dan China.

“Sejak pelaksanaannya pada 1975, PESP yang juga sebahagian komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS sudah memanfaatkan lebih 36,800 pelajar dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.3 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 6:13 PM