MUHAMMAD Danish bersama ibu bapanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2022. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MUHAMMAD Danish bersama ibu bapanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2022. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Kepayahan ayah berkerja kadang-kadang sehingga malam dan usahanya yang selalu sediakan keperluan kami untuk belajar walaupun kekurangan duit, membakar semangat saya untuk mendapat keputusan cemerlang," kata Muhammad Danish Haikal Ahmad.

Muhammad Danish Haikal, 18, adalah antara 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang menerima tajaan di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP).

Dia berasal dari Marang, Terengganu mendapat keputusan 8A+ dan 1A dalam SPM lalu dan melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak.

"Saya bukanlah orang senang, ayah (Ahmad Hassan, 48) berkerja sebagai juruteknik elektrik swasta, manakala mak (Junaidah Jusoh@Abdul Ghani, 49) pula hanya suri rumah tangga.

"Saya lihat ayah berkerja keras dan tidak pernah menolak sediakan wang jika kami tiga beradik mahukan bahan untuk belajar walaupun pendapatannya tidak besar," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia sangat bersyukur apabila berjaya mendapat tajaan berkenaan sekali gus dapat membantu meringankan beban bapanya.

"Dengan tajaan ini pembiayaan pelajaran akan lebih terjamin dan ini juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperoleh keputusan cemerlang hingga berjaya menjadi jurutera nanti," katanya.

Seorang lagi penerima, Alif Harriz Jeffery, 18, dari Bintulu, Sarawak berkata, dia yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM lalu tidak menyangka akan terpilih namun gembira hasratnya tercapai.

"Ini ganjaran untuk jerih perih saya sepanjang SPM lalu dan ia juga penghargaan untuk ibu bapa yang menyokong saya tanpa jemu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 6:32 PM