Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan dua elaun untuk pelajar di bawah tajaan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) berkuatkuasa serta merta.

Beliau berkata, kenaikan elaun itu membabitkan 2,267 pelajar yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.

"Pertama, kenaikan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.

"Kedua, pelajar yang baru menerima penajaan PESP (Program Penajaan Pendidikan Petronas), elaun induksi akan dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000," katanya dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri menyampaikan tajaan kepada wakil penerima bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri menyampaikan tajaan kepada wakil penerima bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia. FOTO Asyraf Hamzah

Pada majlis itu, seramai 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menerima tajaan di bawah PESP membabitkan peruntukan lebih RM340 juta yang menjadi jumlah tajaan tahunan tertinggi.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin dan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Ismail Sabri berkata, kenaikan kedua-dua elaun itu mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Petronas menjadi penyokong kuat kepada usaha kerajaan memperkasakan bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

Katanya, syarikat gergasi petroleum negara itu juga sudah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bermula dari sekolah rendah.

"Saya memandang serius tentang bilangan pelajar dalam bidang STEM yang kini berada pada kadar 47 peratus dan Sains Tulen pada 19 peratus dengan meneliti Hala Tuju STEM sebagai persediaan rapi mengharungi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

"Kita harus memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang STEM untuk terus kekal mampan dan berdaya saing di peringkat global," katanya.

Sementara itu, Mohd Bakke berkata, pihaknya kekal komited untuk terus menyumbang kepada pembinaan negara dan pembangunan bakat tenaga kerja melalui pelbagai program dan inisiatif selama lebih empat dekad.

Menurutnya, lebih 37,000 pelajar cemerlang negara termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program itu mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion sejak 1975.

"Kami percaya bahawa pendidikan berkualiti akan memperkasakan komuniti, seterusnya menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara ke arah masa depan yang mampan," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 11:51 AM