FAKRUL Azami bermain dengan Muhammad Syahrizal  sambil diperhatikan Ramlah. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
FAKRUL Azami bermain dengan Muhammad Syahrizal sambil diperhatikan Ramlah. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


‘KALAU nak diikutkan, berat hati ingin berpisah dengan adik, maklumlah selama ini saya yang membantu ibu menjaga adik yang istimewa itu,” kata Fakrul Azami Mohd Ayub, 19, dari Kampung Lubuk Mandi, Rusila, Marang, ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) itu antara penerima Biasiswa Pendidikan Petronas (PESP) dari Terengganu yang akan mengikuti pengajian ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Michigan (MU), Amerika Syarikat (AS) pada Ogos ini.

Fakrul Azami berkata, adik bongsunya, Muhammad Syahrizal, 8, mengalami masalah ‘Cerebral Palsi (CP)’ sejak lahir.

Keadaan adiknya itu menyebabkan Fakrul Azami menjadi tulang belakang keluarga bagi menguruskan adiknya sejak kecil.

“Saya memang sayangkan adik, jika berada di rumah, saya akan mengutamakan kebajikan adik. Bila terpilih melanjutkan pelajaran ke MU, saya serba-salah.

“Bagaimanapun demi mengejar cita-cita sebagai jurutera perisian komputer dan mengubah nasib keluarga, saya perlu kuatkan hati untuk berpisah sementara dengan keluarga dan adik,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia mengikuti program persediaan Sains Komputer di Kolej Taylor, Subang Jaya.

“Perasaan bimbang dan teruja sama banyak untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika. Pelbagai persoalan bermain di fikiran, bagaimanapun saya berharap segala urusan sepanjang empat tahun berada di negara itu berjalan lancar.

“Saya hanya ingin berajar dan membanggakan ibu bapa dan keluarga dan selepas tamat pengajian, saya ingin cepat-cepat bekerja untuk membantu keluarga,” katanya yang pernah menerima Anugerah Teknikal dalam Pertandingan Robotik Olimpiad di Beijing pada 2016.

Katanya, dia pasti akan merindui keluarganya apabila berjauhan dan dalam tempoh tiga bulan sebelum ke MU, dia memanfaatkan masa sebaik mungkin bersama keluarga.

“Saya sangat bertuah kerana terpilih sebagai penerima biasiswa itu dan peluang diperoleh itu ialah rezeki yang tidak ternilai.

“Saya akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang dan kepercayaan diberikan demi mencapai cita-cita,” katanya.

Ibunya, Ramlah Sidek, 46, berkata, dia gembira apabila anak sulungnya itu dipilih sebagai penerima Biasiswa PESP.

“Melalui bantuan ditawarkan Petronas, hasrat Fakrul untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati di universiti terkemuka akan tercapai.

“Fakrul ialah harapan keluarga, apabila dia terpilih melanjutkan pengajian di bawah PESP, ia sesuatu yang sangat dibanggakan.

“Sejak kecil lagi Fakrul menunjukkan prestasi membanggakan dalam pelajaran, saya yakin dia mampu mencapai impian dan cita-citanya dalam bidang yang diminatinya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan M Hasnan Abdullah berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM113 juta pada tahun ini untuk menaja 300 pelajar cemerlang.

“Pelajar terpilih akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal, geofizik, perakaunan dan perundangan.

“Mereka akan ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) atau universiti terkemuka di seluruh dunia termasuk AS, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod, PESP membiayai lebih 36,000 orang sejak 1975 dengan pelaburan bernilai lebih RM3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 7:34 PM