Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO BERNAMA
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO BERNAMA
M Hifzuddin Ikhsan


Padang Terap: Pekebun kecil getah masih menaruh harapan agar kerajaan mempertimbang permintaan mereka supaya harga lantai komoditi itu ditetapkan sekurang-kurangnya pada RM3 sekilogram.

Penoreh Ahmad Rizwan Abdullah, 46, berkata, dia bersyukur apabila kerajaan mengumumkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dilanjutkan selama empat bulan dengan jumlah keseluruhan RM800 pada pembentangan Bajet 2023 semalam.

Bagaimanapun, katanya, apa yang sebenarnya diharap adalah penetapan harga lantai yang dilihat akan lebih banyak memberi manfaat kepada penoreh getah.

Ahmad Rizwan Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ahmad Rizwan Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Saya berterima kasih dan bersyukur dengan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh BMT daripada tiga ke empat bulan, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penoreh ketika musim hujan.

"Cuma apa yang kami harap adalah harga lantai getah. Tekanan sebenar penoreh adalah harga getah yang ketika ini antara RM2.20 hingga RM2.50 menyebabkan pendapatan kami tidak menentu," katanya yang memiliki kebun di Kuala Nerang.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, mengumumkan bayaran BMT kepada pekebun kecil dilanjutkan selama empat bulan membabitkan bayaran RM200 setiap bulan.

Namun, Zafrul pada pembentangan Bajet 2023 tidak mengumumkan penetapan harga lantai getah seperti yang diminta kebanyakan pekebun kecil getah seluruh negara.

Kamarul Zaman (kanan) bersama Muhd Zailani (dua dari kiri) melihat antara rampasan pelbagai jenis cecair vape dan peranti tanpa lesen di Markas Pasukan Polis Marin, Wilayah 2, Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kamarul Zaman (kanan) bersama Muhd Zailani (dua dari kiri) melihat antara rampasan pelbagai jenis cecair vape dan peranti tanpa lesen di Markas Pasukan Polis Marin, Wilayah 2, Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Bagi Fisol Abdul Aziz, 53, kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada pekebun kecil getah yang berhadapan pelbagai masalah termasuk kekurangan buruh bagi melakukan kerja kebun.

Katanya, kebanyakan pekebun kecil getah adalah golongan berusia dan tidak lagi mampu melakukan kerja kebun yang berat, malah ada yang terpaksa mengupah orang bagi menoreh getah.

"Dahulu kita mempunyai tenaga kerja asing, namun sejak dua tahun lalu, kebanyakan penoreh getah warga asing pulang ke negara asal menyebabkan banyak kebun terutama di Kedah dan Perlis terbiar.

"Saya harap kerajaan dapat juga melihat isu ini selain menetapkan harga lantai getah bagi menarik generasi muda meneruskan pekerjaan ini," katanya yang memiliki kebun di Bukit Tembaga di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 4:54 PM