PN memberikan tawaran meningkatkan pendapatan golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil melalui penyediaan latihan, bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta pementoran.
PN memberikan tawaran meningkatkan pendapatan golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil melalui penyediaan latihan, bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta pementoran.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) akan terus memperkasakan golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil supaya mereka dapat mengubah kehidupan seterusnya keluar daripada garis kemiskinan.

Pelbagai bantuan dan inisiatif digariskan gabungan parti itu menerusi tawaran PN Best Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Menerusi manifesto PN Best itu, sebanyak 10 tawaran kepada golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil sekiranya PN mengambil alih pemerintahan negara selepas PRU-15.

Antaranya meningkatkan pendapatan golongan terbabit melalui penyediaan latihan, bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta pementoran.

Gabungan parti itu melihat penggunaan tanah terbiar milik kerajaan perlu dioptimumkan untuk sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang bersesuaian termasuk kebun komuniti.

Antara lain, mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran yang bernilai tinggi melalui insentif khas bagi menggalakkan penggunaan teknologi pintar selain pemasaran.

PN juga melihat sektor perikanan perlu dimodenkan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan dengan mewujudkan skim pembangunan yang terancang dan komprehensif.


Dalam pada itu, PN menawarkan insentif ekopelancongan kepada petani dan nelayan bagi membantu untuk menambah sumber pendapatan, selain menawarkan tambahan lesen perikanan nelayan muda bagi kawasan laut yang sesuai.

PN akan menyediakan bantuan tunai pekebun kecil RM800 setahun dan bantuan tanaman padi RM1,200 setahun seperti tertakluk dalam tawaran PN Best bertemakan Prihatin, Bersih, Stabil dengan hala tuju Malaysia Gemilang.

Selain bantuan tunai kepada pesawah dan pekebun kecil, kebajikan penoreh getah turut tidak diabaikan PN apabila berhasrat meningkatkan harga lantai getah pada kadar berpatutan dan disemak secara berkala.

PN juga akan memodenkan industri getah bagi meningkatkan pendapatan penoreh getah.

Terdahulu, PN mengetengahkan 234 tawaran berteraskan 12 tunjang melalui 30 pendekatan di dalam manifesto bagi meraih sokongan pengundi pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 6:31 AM