LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Tiga lelaki akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, esok, atas dua pertuduhan termasuk melarikan orang iaitu seorang ahli perniagaan di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/23d pada 29 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan akan didakwa di mahkamah berkenaan jam 10 pagi esok mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

"Selain itu, mereka juga akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 37 dan 40 tahun itu di Jalan Putra Sulaiman, Taman Dagang, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 2 Oktober lalu.

Mohamad Farouk dipetik berkata, pihaknya turut merampas beberapa pakaian, telefon bimbit milik kedua-dua suspek dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 38 tahun dilarikan dengan dibawa masuk ke dalam MPV Toyota Vellfire warna putih ketika makan seorang diri di restoran berkenaan.

Mohamad Farouk dipetik berkata, semasa di dalam restoran berkenaan, sekumpulan suspek dipercayai lelaki tempatan datang kepada mangsa seterusnya menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kenderan Toyota Vellfire berwarna putih.

Menurutnya, mangsa menjerit meminta tolong dan cuba untuk melepaskan diri namun tidak berjaya. Mangsa terus dilarikan menaiki Vellfire dari tempat kejadian.

Katanya, mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya jam 10.45 malam pada 29 September lalu selepas dipercayai dilepaskan suspek di Klang selepas kejadian.

Beliau berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan di kaki dan muka akibat kejadian dan sudah pun mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai akibat masalah hutang dengan pihak majikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 11:29 PM