GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Berang bapanya enggan mempercayai kata-katanya dan mengesyaki dia sedang berada dalam keadaan khayal akibat dadah menyebabkan seorang lelaki tergamak memukul orang tuanya di kediaman mereka di Kampung Indah Permai, Tasek Permai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 63 tahun bekerja sebagai peniaga yang ketika itu berada di rumah bertengkar dengan anak lelakinya berusia 33 tahun bekerja sebagai penghantar surat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam pertengkaran berkenaan, suspek bertindak menumbuk kepala bapanya berulang kali menggunakan tangan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi sebelah kiri dan bahagian kiri kelopak mata.

"Suspek juga mengugut akan terus mencederakan mangsa sekiranya menghubungi pihak polis.

"Punca pertengkaran disebabkan mangsa tidak mempercayai kata-kata suspek. Mangsa mengesyaki suspek berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu, pihak polis dari Cawangan unit kereta peronda polis (MPV) Ampang Jaya yang tiba di tempat kejadian terus membuat tangkapan terhadap suspek.

"Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu," katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari hingga 4 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Sesyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:55 PM