Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhamad Shaifullah Tayep

Kuala Lumpur: Pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok (RUU) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik perhatian ramai pihak.

Ramai mengutarakan pendapat bahawa produk alternatif merokok seperti vape, rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan harus dikawal secara berbeza dengan rokok konvensional kerana profil risikonya yang berbeza dan potensi pengurangan bahaya.

Berdasarkan maklumat disokong oleh Philip Morris International (PMI) mengenai kajian yang dijalankan oleh Ketua Penglibatan Saintifik di Amerika Latin dan Kanada, Dr Andrea Constantini, menunjukkan rokok yang dibakar menyala pada suhu tinggi sehingga 800 darjah celcius.

Proses pembakaran membabitkan penggunaan oksigen dan tembakau itu menyebabkan pembebasan asap rokok yang mengandungi bahan toksik.

Menurut Pengurus Pengurusan Projek dan Integrasi Pengetahuan PMI Mark Bentley berkata asap rokok yang dibebaskan daripada proses pembakaran tembakau mengandungi lebih daripada 6,000 jenis bahan kimia.

"Lebih daripada 100 daripadanya sudah diklasifikasikan sebagai bahan kimia berbahaya dan berpotensi bahaya, di mana bahan toksik inilah sering dikaitkan sebagai penyebab penyakit berkaitan merokok," katanya.

Hasil sampingan daripada pembakaran rokok konvensional adalah tar di mana ia mengandungi kebanyakan bahan kimia berbahaya yang menyebabkan kanser dan lain-lain penyakit akibat merokok.

Apabila asap tembakau disedut, tar membentuk lapisan melekit pada bahagian dalam paru-paru yang boleh merosakkannya dan menyebabkan kanser paru-paru, emfisema atau masalah paru-paru lain.

Apabila rokok konvensional dibakar, gas karbon monoksida dihasilkan lalu mengikat hemoglobin dalam sel darah merah untuk menghasilkan carboxyhemoglobin (COHb) yang mengurangkan kapasiti pembawa oksigen dalam aliran darah.

Sebaliknya, produk alternatif merokok tidak membakar tembakau tetapi cuma memanaskannya.

Contohnya, produk tembakau yang dipanaskan hanya memanaskan tembakau sehingga 350 darjah celsius, justeru tidak membebaskan kebanyakan bahan kimia berbahaya dan berpotensi berbahaya.

Dengan kajian-kajian yang dijalankan, tidak dapat dinafikan bahawa asap daripada pembakaran tembakau merupakan punca utama penyakit berkaitan merokok.

Walaupun produk tembakau yang dipanaskan masih mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan, ia bukanlah penyebab utama penyakit berkaitan merokok.

Nikotin boleh didapati dalam keluarga tumbuhan nightshade (solanaceae), kebanyakannya dalam tembakau dan dalam tomato, kentang, terung serta lada hijau pada kuantiti lebih rendah.

Masalah dengan rokok konvensional bukanlah penggunaan nikotin atau tembakau tetapi pembakarannya.

Justeru itu, pengamal perubatan mengesyorkan prosedur berhenti merokok iaitu terapi penggantian nikotin yang jelas menggunakan nikotin.

Kesimpulannya, punca kepada penyakit berkaitan rokok bukanlah nikotin atau tembakau tetapi asap rokok.

Wajarlah pihak berwajib mewujudkan peraturan atau kawal selia secara berasingan memandangkan masing-masing menyebabkan kesan berbeza.

Artikel ini ditaja oleh PMI.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 3:06 PM