Selama beberapa dekad, rokok telah mendominasi landskap Malaysia, meninggalkan kesan dan kebimbangan kesihatan dalam kalangan umum.

Situasi ini tidak menghalang revolusi alternatif bebas asap untuk berkembang menawarkan laluan ke arah masa depan yang lebih sihat.

Walaupun istilah 'alternatif bebas asap' kedengaran asing sehingga baru-baru ini, perjalanan alternatif bebas asap sudah bermula sejak awal 2000-an dengan pengenalan e-rokok dan kini, muncul pula produk tembakau dipanaskan.

Meskipun fungsi rokok, vape dan produk tembakau dipanaskan kelihatan sama, tetapi setiap produk ini mempunyai perbezaan dan pemahamannya penting bagi pengguna membuat pilihan termaklum tentang kesihatan mereka.

Mitos alternatif bebas asap

Umum mengetahui rokok digunakan dengan membakar tembakau. Dalam satu artikel yang ditulis oleh Ketua Penglibatan Saintifik PMI di Amerika Latin dan Kanada, Dr Andrea Constantini, proses pembakaran rokok boleh mencecah suhu dari 400 hingga melebihi 800 darjah Celsius semasa dihisap.

Asap rokok ini mengandungi sisa-sisa karbon atau tar serta lebih daripada 6,000 bahan kimia yang mana lebih daripada 100 bahan kimia ini telah dikenal pasti berbahaya dan berpotensi bahaya kepada individu1.

Berbeza dengan rokok, e-rokok dan vape berfungsi dengan mengewapkan cecair nikotin dan menawarkan alternatif bebas asap kepada perokok yang mahukan pilihan yang kurang berisiko.

Kandungan nikotin dalam cecair vape juga berbeza-beza.

Sementara itu, peranti tembakau yang dipanaskan pula berfungsi dengan memanaskan tembakau pada suhu terkawal tanpa perlu membakar bagi membebaskan nikotin.

Banyak kajian menunjukkan kaedah pemanasan tembakau ini mampu mengurangkan pembentukan bahan kimia yang berbahaya dan berpotensi berbahaya sebanyak 95 peratus berbanding dengan rokok.

Perbezaan ini penting bagi menghapuskan tar dan karsinogen berbahaya yang dihasilkan melalui pembakaran seterusnya berpotensi mengurangkan risiko penyakit berkaitan rokok.

Walau bagaimanapun, persepsi orang ramai kekal dikaburi oleh kebimbangan mengenai kesan kesihatan mereka untuk jangka masa panjang selain kesedaran yang rendah dalam kalangan umum tentang alternatif bebas asap.

Antara salah faham lain yang biasa berlaku dalam kalangan umum ialah nikotin menjadi punca utama di sebalik penyakit berkaitan rokok.

Walaupun nikotin menyebabkan ketagihan, bukti saintifik menunjukkan tar dan kandungan toksin dalam asap rokok yang dihasilkan ketika pembakaran rokok menjadi punca kepada penyakit berkaitan rokok seperti kanser, penyakit jantung dan masalah pernafasan, bukanlah nikotin.

Tidak seperti rokok yang membakar dan menghasilkan campuran bahan kimia berbahaya, produk alternatif bebas asap seperti vape dan peranti tembakau yang dipanaskan membebaskan nikotin tanpa melibatkan pembakaran.

Alternatif ini sekali gus mengurangkan jumlah dan jenis bahan kimia berbahaya yang dikeluarkan.

Walaupun tidak sepenuhnya bebas risiko, produk ini menawarkan alternatif pengurangan bahaya buat perokok yang memilih untuk tidak mahu berhenti sepenuhnya.

Masa depan bebas asap rokok

Salah faham yang berlaku sejak kemunculan alternatif bebas asap ini jelas menunjukkan keperluan untuk kesedaran dan pendidikan yang lebih besar bagi menghapuskan mitos serta memastikan wacana awam yang bermaklumat.

Dengan memupuk dialog terbuka, menjalankan penyelidikan yang teliti, dan melaksanakan polisi berasaskan bukti, Malaysia boleh membuka jalan untuk masa depan di mana pilihan bebas asap rokok menjadi kebiasaan, melindungi kesihatan awam dan memperkasakan perokok dengan pilihan termaklum.

Usaha seperti ini akan memberikan peluang untuk meneroka strategi pengurangan bahaya kepada perokok.

Hanya dengan itu Malaysia boleh menavigasi landskap yang kompleks ini dan mencipta masa depan di mana penyakit berkaitan rokok menjadi sejarah.

Walaupun produk alternatif bebas asap adalah pilihan lebih baik daripada merokok, ia masih tidak membebaskan pengguna daripada risiko kesihatan.

Justeru, keputusan terbaik yang harus diambil adalah dengan tidak mendedahkan diri kepada kegiatan merokok.

Rujukan:

1. https://www.pmi.com/our-science/the-difference-between-cigarette-smoke-a...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 6:35 PM