OMAR mempamerkan umpan sarung yang digunakan sebagai umpan untuk mencari rezeki di Sungai Ramuan Cina, di Lubok Cina dekat Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
OMAR mempamerkan umpan sarung yang digunakan sebagai umpan untuk mencari rezeki di Sungai Ramuan Cina, di Lubok Cina dekat Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Sekali imbas, ia seakan-akan lintah dan agak menakutkan bagi sesiapa yang pertama kali melihatnya kerana memiliki kaki yang terlalu banyak seperti ulat gonggok.

Bagaimanapun, hidupan laut yang lebih dikenali sebagai umpan sarung memiliki keistimewaan tersendiri yang menyebabkan ia digemari kaki pancing.

Bagi nelayan sungai, Omar Osman, 51, dia sanggup memandu sejauh 100 kilometer dari Jeti Nelayan Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina di sini ke Lukut, Negeri Sembilan semata-mata untuk mendapatkan umpan sarung.

"Saya tidak kisah memandu ke Lukut semata-mata untuk mendapatkan umpan sarung yang dijual pada harga RM9 satu beg plastik kerana ia lebih digemari ikan berbanding umpan cacing.

"Hidupan laut itu hidup dalam habitat pasir pantai di kawasan pokok bakau dan sesiapa yang ingin mendapatkannya harus menggali pasir dan bertarung dengan selut pantai," katanya ketika ditemui di jeti berkenaan hari ini.

Nelayan sungai yang berpengalaman selama 35 tahun itu berkata, setiap kali ke Lukut, dia akan mendapatkan umpan itu lebih daripada 10 beg plastik bagi memudahkannya menyimpan untuk digunakan sebagai umpan antara satu hingga lima hari.

Katanya, umpan sarung berbeza dengan umpun-umpun, kerana ia mampu bertahan dalam sungai lebih lama.

Begitu juga dengan cacing biasa yang hanya mampu bertahan untuk tempoh lebih singkat ketika berada dalam sungai.

"Umpan sarung lebih liat dan kalau digigit ikan, ia tidak mudah tertanggal daripada mata kail dan ini menyebabkan ikan terus menyambar mata kail," katanya.

Dia berkata, umpan sarung mampu hidup lebih lama dalam sarungnya, iaitu daun dan akar pokok kayu bakau yang sudah reput.

Katanya, antara ikan yang sering diperoleh ketika memancing di Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi, dekat sini ialah siakap, semilang dan baung dengan harga RM18 hingga RM25.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 1:16 PM