ANTARA perahu atau bot kecil dimiliki nelayan atau penduduk tempatan.
ANTARA perahu atau bot kecil dimiliki nelayan atau penduduk tempatan.
Nurul Husna Mahmud

Kesempatan cuti sekolah baru-baru ini dimanfaatkan penulis untuk berkumpul bersama keluarga di Jeti Batu Mat Sepat di Kampung Bekut, Sungai Siput, Perak.

Dari pekan kecil itu, perjalanan ke jeti berkenaan mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dengan menyusuri jalan kampung selain laluan sempit.

Meskipun namanya tidak sepopular lokasi memancing lain seperti Sungai Perak atau Kuala Sepetang, namun ia sering menjadi pilihan kaki pancing mahupun peminat ikan air tawar sekitar pekan berkenaan.

Perbandingan suasana jeti itu dengan perkampungan nelayan tipikal di muara sungai atau pesisir pantai yang lain, tidak keterlaluan ia jauh lebih 'damai' dan tenang kerana hanya sebilangan kecil sahaja bot dimiliki penduduk tempatan boleh dilihat.

Menurut penduduk setempat yang ditemui hanya mahu dikenali sebagai Shamsul, menyifatkan jeti berkenaan dipenuhi kaki pancing seawal jam 7 pagi sehingga tengah hari dan sebelah petang sekitar jam 5 petang sehingga senja.

"Di sini, selain penduduk tempatan bekerja menangkap ikan atau mengangkat pukat, ada juga orang luar sejauh Ipoh mahupun Taiping mencuba nasib dengan menangkap spesies ikan liar seperti ikan lawang, lampam, baung dan banyak lagi.

"Kalau malam pula, ada penduduk atau kaki joran cuba mengail udang galah kerana di sini banyak kawasan lubuk selain salah satu laluan utama Sungai Perak menghubung empangan," katanya.

Tambah Shamsul lagi, tidak sukar bagi kaki pancing untuk memahami tabiat spesies ikan sungai liar jinak dengan umpan tertentu.

"Di sini boleh lihat ada menggunakan umpan dedak, roti, cengkerik selain cacing bergantung kepada spesies ingin mereka tangkap. Selebihnya ialah skil melontar mata kail kerana di sini banyak jeram batu dan pokok.

JETI selesa untuk kaki pancing melontar mata kail.
JETI selesa untuk kaki pancing melontar mata kail.

"Silap baling mata kail boleh sangkut pada pokok atau orang. Selain itu di sini juga banyak jeram dan kalau tersangkut boleh menyukarkan misi untuk menangkap ikan disebabkan tali tangsi putus," katanya.

Suasana tenang dan pemandangan indah sepanjang sungai menjadi momen indah buat penulis dan keluarga selain berkelah.

Malah boleh juga dikatakan selesa dengan fasiliti asas iaitu ruang rehat berbumbung selain jeti dan pokok besar menjadi 'peneduh' buat kaki pancing.

LUAS pemandangan dari tebing Jeti Batu Mat Sepat.
LUAS pemandangan dari tebing Jeti Batu Mat Sepat.

Antaranya pokok sawit dan ara yang menjadi 'port' sesuai kaki pancing 'memacak' joran mereka.

Lebih menarik ketika percutian itu apabila penulis dan ahli keluarga berpeluang menaiki bot menyusuri sungai berkenaan.

Mudik ke hulu kira-kira 20 hingga 30 minit, boleh melihat pemandangan empangan yang terletak tidak jauh daripada resort percutian Intan Suraya.

Perjalanan di atas bot memberi pemandangan berbeza dari tebing sungai. Jika bernasib baik boleh melihat secara dekat haiwan liar antaranya kera mahupun biawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 6:45 AM