KHAIRUDIN menunjukkan ikan kenerak yang diperolehnya menggunakan teknik kail pelabuhan. FOTO Roselan Ab Malek
KHAIRUDIN menunjukkan ikan kenerak yang diperolehnya menggunakan teknik kail pelabuhan. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


BANJIR di beberapa perkampungan di Pahang membawa rezeki buat nelayan sungai apabila limpahan ikan ditemui di Sungai Pahang dan Tembeling, baru-baru ini.

Khairudin Md Saini, 26, dari kampung Gunung Senyum, Jerantut, berkata, banjir minggu lalu menjadikan usaha mengail ikan mudah.

“Hari ini rezeki saya kerana berjaya menaikkan sebanyak 13 ikan kenerak pelbagai saiz dengan berat sekitar 800 gram hingga tiga kilogram (kg)

“Saya menggunakan kaedah kail pelabuhan iaitu tali kail diikat pada hujung dahan pokok dan mata kail dilabuhkan di dasar sungai kerana ikan kenerak ini suka bermain di dasar sungai.

“Biasanya umpan cacing digunakan dan kail pelabuhan dibiarkan semalaman khususnya di kawasan lubuk yang tenang airnya,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, dia memasang kira-kira 20 kail pelabuhan dan mengambil hasilnya pada sebelah pagi.

Dia berkata, semua ikan itu sudah ditempah oleh pengusaha restoran yang menyediakan masakan gulai asam rong.

Khairudin berkata, ikan bermulut lebar, bermisai dan tidak bersisik itu mendapat permintaan tinggi kerana menjadi bahan utama masakan tradisi penduduk iaitu gulai asam rong.

“Kini ia menjadi buruan nelayan sungai kerana mendapat permintaan tinggi dari restoran yang menyediakan masakan itu,” katanya.

Dia berkata, ikan itu dijual dengan harga RM40 sekilogram dan dijual secara terus kepada pengusaha restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 11:40 AM