Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Khutbah Jumaat tidak dibenarkan menyentuh isu politik yang berat sebelah kepada kepartian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kempen parti politik juga tidak sepatutnya berlaku dalam khutbah Jumaat.

Katanya, sekiranya isu yang membabitkan kepentingan awam barangkali menyentuh soal peristiwa atau perkara berkaitan dengan pentadbiran negara ia dibenarkan.

"Jika isu membabitkan politik yang berat sebelah kepada kepartian parti tertentu ia tidak sepatutnya berlaku dalam khutbah Jumaat.

"Tetapi kalau isu membabitkan kepentingan awam yang menyentuh soal peristiwa atau perkara berkaitan dengan pentadbiran negara tanpa kaitan dengan politik ia tidak menjadi masalah.

"Khutbah Jumaat ini adalah untuk merungkaikan soalan yang berbangkit dalam masyarakat kita. Tetapi (khutbah) kalau digunakan untuk tujuan kempen parti tertentu yang tidak ada maslahah umum ia tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

AHMAD Marzuk (tengah) bergambar bersama peserta ketika hadir Majlis Perasmian Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Marzuk (tengah) bergambar bersama peserta ketika hadir Majlis Perasmian Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK). FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, orang awam mempertikai apabila ada masjid yang memasukkan isu politik di dalam khutbah Jumaat yang menjadi tular di laman Twitter.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, khutbah yang berunsur politik tidak perlu dimasukkan dalam khutbah Jumaat.

Ketika ditanya berkenaan tindakan yang akan dikenakan kepada mereka yang berkempen politik dalam khutbah Jumaat, Ahmad Marzuk berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pentadbiran agama negeri masing-masing.

"Mereka (pihak agama negeri) boleh meneliti perkara ini," katanya.

Pada perkembangan yang lain, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Jawatankuasa PAS berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan pada hujung tahun ini memandangkan beberapa negeri terutama Pantai Timur akan dilanda banjir.

"Kita tahu bahawa kebanyakan negeri akan berdepan kemungkinan berlaku banjir dan sebaiknya kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dikerahkan untuk membantu mangsa banjir.

"Untuk mengadakan pilihan raya pada hujung tahun ini, secara peribadi tidak sesuai dan sepatutnya kita menumpukan soal kebajikan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 2:39 PM