Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Umat Islam diseru supaya bersatu menentang penghinaan terhadap agama syumul ini dan Nabi Muhammad SAW, seperti kenyataan dikeluarkan dua ahli politik India, baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, solidariti dalam isu itu menunjukkan kekuatan dan kebersamaan dalam menjaga nama baik agama dan kemuliaan nabi.

"Nabi sendiri tidak mengajar orang Islam menghina agama lain kerana bimbang mereka yang bukan Islam akan menghina agama Islam.

"Inilah pendirian Nabi Muhammad SAW, oleh itu, kalau ada individu yang melampau cuba menghina Baginda, maka perbuatan berkenaan boleh dianggap sebagai ekstrem serta tidak boleh diterima.

"Kita menyeru semua umat Islam bukan sahaja di Malaysia ini, tetapi di seluruh negara untuk bangkit membantah dan membela penghinaan terhadap nabi kita," katanya.

DATUK Ahmad Marzuk dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah di sini, hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ahmad Marzuk dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah di sini, hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Lambaian Kaabah di Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk turut menolak dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kerajaan tidak bertegas dan lambat bertindak dalam isu penghinaan Nabi Muhammad SAW.

"Pihak kami terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penghinaan terhadap nabi, selain itu, saya difahamkan hari ini, terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sedang menuju ke Kedutaan India bagi membuat bantahan.

"Saya di Jabatan Perdana Menteri menyokong bantahan berkenaan," katanya.

Menurutnya, sensitiviti umat Islam terhadap Nabi Muhammad yang tinggi membuktikan betapa kasih dan sayangnya terhadap nabi junjungan dan mana-mana pihak diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menghina Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 2:20 PM