Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Jika benar dakwaan Sungai Wias di Gua Musang tercemar akibat aktiviti melombong emas, masyarakat Orang Asli boleh membuat aduan kepada pihak berwajib, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen atau kebenaran untuk sebarang aktiviti pelombongan emas di dalam kawasan sungai termasuk Sungai Wais, Gua Musang sepertimana didakwa menerusi laman sosial Facebook Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).

"Sepatutnya kena 'report' kalau betul ada sebab kita pun tidak tahu dakwaan ini betul atau tidak, adakah betul berlaku (aktiviti) perlombongan, ada lesen atau tak.

"Setakat saya tahu tidak ada lesen melombong dalam sungai dan tidak pernah lagi setakat ini kita keluarkan lesen melombong dalam sungai, nak kena 'check," katanya.

Dalam perkongsian menerusi FB JKOAK pada 12 Oktober lalu, pemilik akaun mendakwa Sungai Wias yang terletak dalam kawasan Wilayah Tanah Adat Orang Asli Kuala Wias tercemar disebabkan aktiviti melombong emas di kawasan hulu sungai itu.

Dakwanya lagi, penduduk mengalami kegatalan serius apabila mandi di sungai itu kerana Sungai Wias adalah satu-satunya sumber air yang ada di kawasan berkenaan.

Mohd Amar berkata, tidak sewajarnya dakwaan itu dikongsi dalam media sosial sebaliknya terus kepada pihak berwajib seperti Jabatan Tanah dan Galian (PTG) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Kalau setakat dia tulis dalam FB, apa kesannya? Lain kali ada apa-apa, kena 'report'.

"Suka tulis dengan tiada maklumat yang jelas, kita nak ambil tindakan pun susah, itu masalahnya... kita ada pihak berkuasa, buat la laporan," katanya.

Terdahulu beliau yang juga Naib Presiden PAS, hadir dalam Sambutan Jubli Emas PAS Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary merangkap Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 2:30 PM