Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Semua pengikut ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) di negara ini diseru menyerah diri kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan itu lebih baik sekiranya mereka tidak mahu diburu.

"Siasatan oleh pihak polis sudah bermula, jadi saya nasihatkan kepada semua pengikut dia (ajaran PMYT) supaya serah diri dengan segera.

"Pihak kita juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat untuk menyelesaikan isu itu.

"Terlebih dahulu, kita tengok pada hasil penyiasatan (polis) itu. Cuma setakat ini, saya ketahui kes ini agak tidak luas dan hanya membabitkan satu kelompok yang kecil sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Pada program selama lima hari yang bermula hari ini, seramai 6,000 individu akan divaksinasi.

DATUK Ahmad Marzuk Shaary pada sidang media ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ahmad Marzuk Shaary pada sidang media ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, bantuan akan diberikan kepada PDRM sekiranya mereka memerlukan khidmat terutama dari segi akidah ajaran itu.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan menghantar wakil untuk membantu penyiasatan itu.

"Yang pertama, kita sudah ada pasukan khas Jakim di bawah bahagian penguatkuasaan dan keduanya, kita juga ada bahagian kepakaran untuk meneliti soal (ajaran PMYT).

"Soal ajaran yang dikatakan ajaran sesat ini, kita kena tengok hasil siasatan (polis) kerana ianya akan disiasat semuanya," katanya.

Katanya, pihaknya juga bersedia untuk memberi khidmat kaunseling kepada pengikut ajaran berkenaan.

Media semalam melaporkan, polis menahan Sittah Annur, 39, yang juga Ketua Ajaran PMYT dan membongkar penemuan dana sumbangan pengikutnya sebanyak RM84,721.42.

Ia hasil penemuan satu resit ketika serbuan dilakukan pihak berkuasa di rumahnya di Shah Alam, awal pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:09 PM