Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak akan menjejaskan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), malah pelbagai strategi dirangka bagi memantapkan pengurusan institusi kewangan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kepercayaan masyarakat kepada TH semakin 'pulih' daripada isu penyelewengan sebelum ini, apabila lebih sembilan juta pendeposit sudah kembali menggunakan perkhidmatan TH.

Katanya, ia adalah pertambahan yang sangat baik selain memberi gambaran keyakinan masyarakat kepada TH sebagai institusi ulung yang bukan sahaja menguruskan ibadah haji tetapi sebagai satu daripada platform pelaburan kepada orang islam di Malaysia.

"Berkaitan dengan isu penyelewengan sebelum ini, kementerian dalam proses menyediakan kertas kerja serta terma terkini bersama RCI, termasuk individu yang bertanggungjawab menganggotai penubuhan berkenaan.

"Segala rujukan dan keputusan berkaitan RCI akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Outreach rakan setia komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Rohayu Ahmad.

AHMAD Marzuk pada Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pemantauan (OKP) Dadah Pengkalan Chepa di Kampung Gong Tengah, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
AHMAD Marzuk pada Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pemantauan (OKP) Dadah Pengkalan Chepa di Kampung Gong Tengah, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Ahmad Marzuk berkata, secara dasarnya, kerajaan bersetuju menubuhkan siasatan diraja bagi menyiasat dakwaan tertentu yang tidak selesai dari tempoh tahun 2014 sehingga 2020.

"Penyiasatan RCI ini adalah dalam tempoh masa 'ke belakang', justeru ia langsung tidak mengganggu pengurusan semasa TH.

"Malah jika ada terma yang diumumkan dalam masa terkini, masih lagi dalam penelitian dan kelulusan kabinet," katanya.

Penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Julai lalu yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Penubuhan RCI adalah wajar bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

Ahmad Marzuk berkata, pihaknya sedaya upaya memastikan operasi TH dalam keadaan baik selain meningkatkan daya saing pengurusan agar dapat lebih menjana keuntungan dan pulangan kepada pendeposit.

"Kita berharap masyarakat terus yakin dengan kewibawaan pengurusan TH supaya agar institusi ini terus berkembang untuk memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 5:05 PM