HAY (kiri) menyerahkan anugerah Commonwealth Points of Light kepada Anja Juliah. FOTO Bernama
HAY (kiri) menyerahkan anugerah Commonwealth Points of Light kepada Anja Juliah. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Usahawan sosial Malaysia, Anja Juliah Abu Bakar pada Khamis menerima anugerah Commonwealth Points of Light sebagai mengiktiraf khidmat kesukarelaannya yang luar biasa kepada masyarakat.

Sijil itu yang ditandatangani mendiang Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Komanwel sebelum kemangkatan baginda baru-baru ini, menjadikan anugerah itu lebih istimewa kepada usahawan sosial itu atas khidmatnya dalam mendidik gadis di luar bandar mengenai kesihatan haid.

"Saya terkejut menerima anugerah ini...10 tahun lalu, saya mula mengajar kanak-kanak perempuan di luar bandar di Borneo mengenai haid dan menaja tuala wanita yang boleh dibasuh kepada mereka.

"Hasilnya, mereka tidak lagi ponteng sekolah, selain menyedari mengenai pentingnya pendidikan untuk kehidupan yang lebih baik," katanya pada sidang media selepas menerima anugerah itu daripada Pesuruhjaya Tinggi Britain, Charles Hay di kediamannya, di sini.

Anja Juliah memulakan usaha untuk menangani isu ketidakhadiran dalam kalangan gadis Malaysia dari kawasan luar bandar selepas mendapati beribu-ribu remaja terlepas purata 60 hari persekolahan setahun kerana kurangnya pengetahuan berkaitan haid.

Beliau berkata, usahanya menyediakan tuala wanita yang boleh diguna semula itu membolehkan gadis luar bandar meneruskan pengajian dengan selesa, selain mengurangkan bilangan tuala wanita sekali guna dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Sementara itu, Hay yang memuji usaha Anja Juliah berkata, beliau telah membantu dalam memastikan gadis di luar bandar terus bersekolah dan mendapat pendidikan asas yang mereka perlukan.

Program anugerah Commonwealth Points of Light dilancarkan di United Kingdom (UK) pada 2018 semasa UK mempengerusikan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Sebelum Anja Juliah, empat lagi rakyat Malaysia turut menerima anugerah Commonwealth Points of Light sejak 2018 – termasuk dermawan, Kuan Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 6:00 AM