WAN Azizah (dua kanan) menyaksikan demonstrasi penggunaan kad Hygiene Aid oleh pelajar sambil disaksikan di Majlis Pelancaran Kempen Hygiene Aid di Dewan Wawasan, Sekolah Menengah Sains Selangor. FOTO Eizairi Shamsudin
WAN Azizah (dua kanan) menyaksikan demonstrasi penggunaan kad Hygiene Aid oleh pelajar sambil disaksikan di Majlis Pelancaran Kempen Hygiene Aid di Dewan Wawasan, Sekolah Menengah Sains Selangor. FOTO Eizairi Shamsudin
Siti Norhidayah Mohd Yunus

Kuala Lumpur: Pengenalan mesin layan diri sanitari percuma mampu mengurangkan beban kaum wanita kurang bernasib baik sekali gus boleh menangani isu kemiskinan haid.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesin layan diri ini dapat memberikan kemudahan kepada gadis untuk mengakses produk sanitari secara percuma bagi kegunaan apabila datang haid.

Menurutnya, terdapat segelintir gadis golongan B40 tidak mempunyai akses kepada tuala wanita yang bersih dan selesa menyebabkan mereka mengalami masalah seperti kemurungan.

"Sudah tiba masanya untuk kita mengubah persepsi terhadap haid supaya wanita muda tahu cara terbaik untuk menjaga diri sendiri semasa tempoh haid.

"Platform media sosial seperti TikTok dan YouTube boleh menyediakan pengetahuan dan pendidikan yang mudah diakses, bagi mempromosikan amalan kesihatan haid yang lebih baik," katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran kempen Hygiene Aid di Sekolah Menengah Sains Selangor, Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Pada program berkenaan, Atlas Vending dengan kerjasama Vinda Malaysia memperkenalkan inisiatif inovatif insiatif mesin layan diri sanitari.

Seramai 600 penerima berusia 13 hingga 24 tahun bakal mendapatkan tuala wanita secara percuma setiap bulan.

Hadir sama, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd dan Pengarah Komersial Vinda Malaysia Yapp Pau Ling.

Sementara itu, pelajar Nur Hanna Nabihah Mohd Hanif, 15, berkata segelintir perempuan mempunyai masalah kitaran haid yang tidak menentu.

"Dengan adanya mesin layan diri ini, ia memudahkan kami untuk mendapatkan tuala wanita di saat-saat yang memerlukan.

"Ia juga boleh mengelakkan rasa malu jika terdapat 'kebocoran' semasa di sekolah kerana tuala wanita sudah senang diperoleh," katanya.

Pelajar lain, Marsya Zulaikha Afkar Mazlan, 16, berkata mesin layan diri sanitari percuma memudahkan pelajar wanita terutama sekolah berasrama penuh untuk mendapatkan tuala wanita.

"Ia dapat mengurangkan beban ibu bapa terutamanya golongan B40 untuk menyediakan tuala wanita bagi anak mereka.

"Saya bersyukur dengan adanya kempen ini, saya tidak perlu untuk membeli tuala wanita setiap bulan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 6:21 PM