AKTIF menjalankan program dengan remaja Orang Asli di kawasan pedalaman.
AKTIF menjalankan program dengan remaja Orang Asli di kawasan pedalaman.
Muhamaad Razis Ismail


BARU-baru ini, usahawan sosial Malaysia, Anja Juliah Abu Bakar mencipta sejarah apabila menerima anugerah Commonwealth Points of Light sebagai mengiktiraf khidmat kesukarelawan yang luar biasa kepada masyarakat.

Sijil itu yang ditandatangani mendiang Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Komanwel sebelum kemangkatan baginda.

Anja Juliah mengakui, dia tidak mengetahui berkenaan kewujudan anugerah itu sebelum dihubungi pihak terbabit berkenaan perkara itu pada Julai lalu.

"Saya difahamkan mereka membuat carian di internet berkenaan usahawan sosial sebelum menemui usaha sukarelawan yang saya lakukan dalam membantu remaja di kawasan pedalaman berkenaan kesihatan haid.

"Dari situ, mereka dapatkan nombor telefon dan terus menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Ini adalah anugerah tertinggi yang saya anggap sebagai rezeki sepanjang 10 tahun terbabit melakukan kerja sukarelawan di negara ini," katanya.

Menurutnya, pada awal pembabitannya dalam bidang perniagaan tuala wanita mesra alam, dia tidak menyangka perjalanan hidupnya boleh sampai ke tahap ini.

Katanya, seperti pe

niaga lain, dia memikirkan kejayaan dalam perniagaan diukur daripada keuntungan yang diperoleh.

"Namun, sebaliknya berlaku selepas terbabit secara serius sebagai usahawan sosial tanpa saya sedari.

PESURUHJAYA Tinggi Britain, Charles Hay (kiri) menyerahkan anugerah Commonwealth Points of Light kepada Anja Julia.
PESURUHJAYA Tinggi Britain, Charles Hay (kiri) menyerahkan anugerah Commonwealth Points of Light kepada Anja Julia.

"Semuanya bermula dengan memberi sumbangan 33 set tuala wanita mesra alam kepada remaja di Sabah. Kemudian saya buat kajian sendiri dan mendapati mereka tidak mampu membeli tuala wanita dan ada menggunakan sabut kelapa yang dibalut atau disumbat dalam sarung kaki sebagai alternatif sebagai tuala wanita pakai buang sehingga menyebabkan ramai pelajar ponteng atau berhenti sekolah.

"Bermula dari situ, saya melancarkan kempen 'Girl Empowerment' dengan melaksanakan Program Penjagaan Kebersihan Diri dalam kalangan remaja di kawasan pedalaman termasuk Orang Asli.

"Dalam program ini, kami bukan sahaja memberi sumbangan tuala wanita mesra alam, malah turut memberi kesedaran kepada mereka berkenaan kesihatan haid," katanya.

Pengasas dan Pengarah Impak, Athena Holdings Sdn Bhd itu berkata, pada awal pembabitannya itu, dia tidak mengetahui berkenaan perusahaan sosial sebelum berpeluang bertemu Pemenang Anugerah Nobel Keamanan 2006, Profesor Muhammad Yunus dari Bangladesh yang mencadangkan model perniagaan itu.

"Pada ketika itu saya tidak begitu memahami berkenaan model perniagaan itu yang saya anggap seperti program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Tapi, sebenarnya saya sudah laksanakan model perniagaan itu tanpa sedar dengan menjalankan kempen melalui setiap pembelian satu set tuala wanita, satu set lagi akan disumbangkan kepada pelajar yang mendapat sambutan menggalakkan.

BERKONGSI berkenaan penjagaan kebersihan diri dalam kalangan remaja perempuan.
BERKONGSI berkenaan penjagaan kebersihan diri dalam kalangan remaja perempuan.

"Hanya pada 2015 baharu saya faham mengenai konsep itu selepas ditawarkan menyertai program perusahaan sosial oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC)," katanya.

Jelasnya, sehingga kini, seramai lebih 3,000 remaja sudah dibantu menerusi program yang dilaksanakan di seluruh negara.

"Dari jumlah ini seramai 1,957 remaja, kami pantau perkembangan mereka selama lima tahun. Hasil kajian yang dijalankan kita dapat menjimatkan penggunaan 464,000 tuala pakai buang.

"Malah, lebih mengharukan, jumlah pelajar yang ponteng dan berhenti sekolah dapat dikurangkan impak daripada program ini," katanya.

Selain itu, dia turut aktif menjalankan program bersama wanita untuk terbabit dalam bidang perniagaan.

"Ini berlaku secara tidak sengaja apabila saya mendapat permintaan daripada kumpulan ibu kepada remaja ini untuk mengadakan program untuk membantu mereka berniaga. Selepas berbincang dengan rakan kongsi, kami bersetuju untuk melaksanakan program Pemerkasaan Ekonomi Wanita Luar Bandar.

"Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan ada dalam kalangan mereka sudah menjadi usahawan, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Usahanya mendapat perhatian pihak korporat yang ingin menjalin kerjasama untuk bersama-sama membantu sehingga berjaya melebarkan sayap ke luar negara.

"Selain dalam negara, saya turut diminta menjalankan program berserta perkongsian berkenaan perusahaan sosial di United Kingdom, Amerika Syarikat, Zanzibar, Dubai, Filipina, Amsterdam, Vietnam dan menyertai forum keusahawan sosial di Sweden serta pernah dijemput sebagai tetamu di White House, Amerika Syarikat pada 2019 oleh Penasihat Presiden Amerika Syarikat, Ivanka Trump.

"Siapa sangka menerusi program yang dilaksanakan di kawasan pedalaman, saya diberi peluang untuk ke luar negara. Ini boleh saya katakan sebagai keajaiban apabila kami lakukan sesuatu perkara yang mengambil kira manfaat kepada orang ramai ," katanya.

Melihat perjalanan sejak 2015, pembabitan dalam perniagaan bukan bermotifkan keuntungan semata-sama sebaliknya untuk membantu lebih ramai yang memerlukan.

"Saya dapat belajar bahawa dalam perniagaan, kita perlu cari jalan bagaimana dapat memberi manfaat kepada orang ramai dengan kaedah lebih lestari untuk jangka panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 7:00 AM