Warga emas ditemui lemas dipercayai terjatuh ketika menjala di rumah pam air dekat Rawang. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Warga emas ditemui lemas dipercayai terjatuh ketika menjala di rumah pam air dekat Rawang. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Norzamira Che Noh


Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjala berdekatan rumah pam air di Rawang, semalam.

Mangsa, Mohd Rodzi Md Noor berusia dalam lingkungan 60-an ditemui pada 7.10 malam, kira-kira 40 meter dari tempat dia terjatuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan mangsa pada 2 petang hari ini.

Katanya, mangsa difahamkan keluar menjala semalam dan tidak pulang selepas itu.

"Anaknya kemudian melaporkan kepada bomba bahawa lelaki itu berkemungkinan terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan memandangkan kenderaan mangsa masih berada di lokasi.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa dengan bantuan Unit Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi.

"Pencarian secara surface searching (pencarian di permukaan air) dilaksanakan dan mangsa ditemui dengan tangan tersangkut pada jala kira-kira 40 meter dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 9:28 PM