MAYAT wanita OKU yang hilang selepas terjun ke sungai ditemukan lemas oleh pasukan Bomba dan Penyelamat. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT wanita OKU yang hilang selepas terjun ke sungai ditemukan lemas oleh pasukan Bomba dan Penyelamat. FOTO Ihsan Bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam sungai di belakang rumahnya di Jalan Tepi Sungai, Kampung Tepi Sungai Kuala Sepetang, petang tadi ditemukan lemas, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataannya berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.58 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping segera dikerah ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sejurus mengenal pasti lokasi mangsa hilang, pihaknya segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Kami menjalankan operasi mencari mangsa secara surface searching sehingga radius 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Tepat 9 malam, mangsa yang berusia 34 tahun dan juga orang kurang upaya (OKU) berjaya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut, "katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurut kenyataan itu, operasi ditamatkan pada 9.15 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 10:44 PM