ISMAIL Sabri melihat hasil kerja OKU yang menyertai pameran sempena sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Kebangsaan 2021. FOTO Fathil Asri.
ISMAIL Sabri melihat hasil kerja OKU yang menyertai pameran sempena sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Kebangsaan 2021. FOTO Fathil Asri.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelaksanaan dasar satu peratus orang kurang upaya (OKU) dalam sektor awam akan dijadikan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) semua kementerian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia perlu dicapai sebelum akhir tahun hadapan.

Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan OKU sebaliknya menyediakan pelbagai peluang dan insentif untuk membantu golongan OKU di negara ini.

"Kerajaan juga akan sentiasa membantu dan menyokong agar OKU terus kental, berdaya tahan dan bersifat lentur bagi menyesuaikan diri dengan cara hidup norma baharu.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, lebih banyak peluang ekonomi disediakan kepada OKU melalui pelbagai platform termasuk ekonomi perkongsian dan ekonomi digital," katanya ketika merasmikan Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia di sini, malam ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perdana Menteri berkata, sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, lebih banyak ruang dan peluang perlu diberikan untuk memastikan OKU terbabit di dalam agenda pembangunan negara.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta agensi lain yang terbabit dengan inisiatif Bajet 2022 untuk OKU, hendaklah membuat perancangan yang teliti, mengambil kira pandangan OKU dan merujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran untuk pelaksanaannya kelak.

"Hal ini bagi memastikan setiap ringgit yang disalurkan untuk keperluan OKU dibelanjakan dengan optimum, isu yang telah berbangkit diselesaikan dengan sempurna dan benar-benar sampai kepada penerima manfaat yang direncanakan," katanya.

Beliau berkata, selain itu pihak berkuasa tempatan (PBT), akan terus digalakkan untuk menerima pakai prinsip Reka Bentuk Sejagat bagi menambah baik akses kemudahan awam untuk OKU.

Menurutnya, ia termasuklah peruntukan lain yang diluluskan perlu dilaksanakan dengan lebih teliti, supaya usaha memperkasa OKU secara komprehensif dapat direalisasikan.

Majlis berkenaan turut menghargai kejayaan atlet Paralimpik Tokyo kerana memenangi pingat emas dan perak.

Mereka ialah Bonnie Bunyau, Cheah Liek Hou, Abdul Latif Romly yang merangkul emas manakala yang membawa pulang pingat Perak iaitu Jong Ye Khie dan Chew Wei Lun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 10:55 PM