KHAIRY. FOTO Arkib NSTP
KHAIRY. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Peruntukan RM36.139 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan RM31.50 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.639 bilion bagi belanja pembangunan dalam pembentangan Bajet 2023 hari ini adalah pengiktirafan kepada kepentingan penjagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia selari dengan aspirasi kesihatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sebagai satu keutamaan kerajaan.

Beliau berkata, peruntukan dalam Bajet 2023 adalah pertambahan sebanyak RM3.729 bilion atau 11.51 peratus berbanding RM32.4 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2022.

"Peruntukkan ini antara peningkatan jumlah perbelanjaan terbesar dalam kalangan kementerian jika dibandingkan dengan keseluruhan peruntukan bajet Kerajaan Persekutuan 2023 yang berjumlah RM372.3 bilion iaitu sebanyak 11.05 peratus.

"Peningkatan dalam peruntukan kepada KKM dalam Bajet 2023 adalah satu pelaburan yang amat diperlukan bagi memastikan Keluarga Malaysia kekal sihat, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Sebahagian besar peruntukan KKM ini adalah untuk membiayai Program Perubatan yang berjumlah RM11.81 bilion (37.51 peratus) dan untuk Program Kesihatan Awam sebanyak RM5.49 bilion (17.42 peratus).

"Selain itu, sebanyak RM4.9 bilion (15.56 peratus) juga diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam melalui perolehan bekalan ubat, reagen, vaksin dan bahan guna habis," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Bajet 2023 juga menyaksikan perkhidmatan perkhidmatan kesihatan diperkukuhkan bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan mental seluruh Keluarga Malaysia terjamin dan tidak ada golongan yang ditinggalkan.

Katanya, sebanyak RM34 juta diperuntukkan bagi tujuan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) untuk mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental.

"Peruntukan sejumlah RM25 juta juga disediakan bagi tujuan rawatan Penyakit Jarang Jumpa selain mewujudkan sebuah Akaun Amanah bagi Rawatan Penyakit Jarang Jumpa yang membolehkan semua pihak menyalurkan sumbangan.

"Sejumlah RM420 juta diperuntukkan bagi tujuan membaik pulih hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang. Program pembaikan dan pemulihan fasiliti-fasiliti ini akan segera dilaksanakan di seluruh negara dan keutamaan kepada fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak.

"KKM turut diperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion bagi membina hospital, klinik dan fasiliti baharu, termasuk untuk menyediakan dua buah perkhidmatan CT scan bergerak untuk Sabah dan Sarawak dan pembinaan Makmal Kesihatan Awam Sarawak," katanya.

Khairy berkata, antara projek pembinaan fasiliti baharu adalah Hospital Maran; bangunan blok wanita dan kanak-kanak Hospital Melaka; lima buah klinik kesihatan baharu iaitu di Linggi, Sepupuk, Penampang, Bagan Serai dan USJ1.

Katanya, KKM turut bersyukur kerana beberapa permohonan baharu kepada Kerajaan diluluskan dalam Bajet 2023 antaranya adalah seperti bayaran RM500 secara one-off di bawah Skim Cahayamata Keluarga Malaysia untuk ibu B40 yang melahirkan anak pada tahun 2023.

"Ini dijangka dapat memberikan manfaat kepada lebih 200,000 keluarga B40 dalam memastikan kesihatan ibu mengandung dan anak yang bakal dilahirkan dapat menikmati makanan berzat seterusnya usaha mengurangkan masalah bantut.

"Dalam hal ini KKM sangat mengalu-alukan komitmen kerajaan meningkatkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti dalam pengumuman Bajet 2023," katanya.

Selain itu, katanya, subsidi ujian mamogram dan saringan kanser serviks dengan peruntukan sebanyak RM11 juta akan menggalakkan wanita melakukan saringan awal dan seterusnya rawatan awal dapat diberikan.

Kerajaan juga, katanya, meningkatkan peruntukan dan faedah cukai bagi menggalakkan aktiviti saringan kesihatan termasuklah peruntukan sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) termasuk untuk saringan penyakit kencing manis dan RM80 juta untuk Program Saringan Kesihatan Perkeso yang dijangka memanfaatkan 2.3 juta pekerja berdaftar di bawah Perkeso.

"Bajet 2023 juga melihatkan peningkatan dan perluasan perkhidmatan kesihatan pergigian melalui perolehan 10 unit Mesin Cetak 3D Dentur dengan anggaran kos sebanyak RM10 juta.

"Selain itu, peluasan pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM1,000 kepada perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian diri, pasangan dan anak berbanding hanya kepada rawatan perubatan sebelum ini.

"Pengecualian duti import ke atas produk terapi gentian nikotin pula suatu sokongan ke atas usaha untuk memberhentikan tabiat merokok dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"Secara umumnya, peruntukkan Bajet 2023 kepada KKM memberi fokus kepada pengukuhan program Healthcare and Wellness; penambahbaikan dan baik pulih fasiliti kesihatan; meningkatkan keberkesanan rawatan kesihatan; penggantian aset perubatan yang kritikal dan usang; dan pendigitalan perkhidmatan kesihatan," katanya.

Menurutnya, KKM ingin menyatakan bahawa Bajet 2023 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan aspek kesihatan dititikberatkan di dalam hampir semua dasar merentasi pelbagai kementerian dan agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:46 PM