GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menyeru orang ramai untuk terus bersikap prihatin terhadap haiwan terbiar sepanjang bencana banjir yang melanda.

Presiden SAFM R Kalaivanan berkata, pihaknya turut menerima pelbagai aduan dan panggilan daripada orang ramai yang meminta bantuan untuk haiwan terbabit.

"Buat masa ini, SAFM masih belum mendapat angka yang menyeluruh. Bagaimanapun kami pasti ada banyak haiwan yang terkesan berikutan masih banyak kucing dan anjing terbiar.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya jangan meninggalkan haiwan peliharaan atau terbiar terkandas di kawasan yang dinaiki air.

"Sebaiknya bawa mereka ke tempat lebih tinggi dan berikan mereka tempat untuk berteduh ketika hujan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, situasi dihadapi ketika ini amat menyayat hati dengan banyak haiwan lemas serta ada juga anak haiwan yang terbiar dan terpisah daripada ibu.

"Kami meminta orang ramai supaya cuba menyelamatkan haiwan yang terbiar sekiranya termampu dan mohon bantuan pihak berkuasa sekiranya keadaan terdesak.

"Dalam pada itu, SAFM turut menghargai jasa semua penyelamat haiwan terbiar dan orang awam yang sanggup menggadaikan nyawa demi haiwan ini," katanya.

Kalaivanan berkata, pihaknya bakal bekerjasama dengan badan korporat bagi menghantar bekalan makanan kepada haiwan dan pusat perlindungan yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 3:59 PM