MAX, anjing yang dipercayai didera berulang kali oleh pemiliknya.
MAX, anjing yang dipercayai didera berulang kali oleh pemiliknya.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pemilik syarikat bergelar Datuk tergamak mendera anjing peliharaannya berulang-kali dipercayai akibat tidak patuh arahan di pejabatnya di Kota Tinggi, Johor.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) R Kalaivanan berkata, kejadian terakhir dipercayai dilakukan pada 28 Jun dan aduan diterima daripada pekerja lelaki terbabit, kelmarin.

Menurutnya, menerusi rakaman video berkenaan, anjing diberi nama Max itu didenda berdiri di atas motosikal dalam tempoh satu hingga dua jam kerana kegagalan mematuhi arahan.

Katanya, dalam satu rakaman berasingan, kedengaran jeritan anjing dipercayai akibat dipukul pemiliknya itu.

"Max didenda berdiri atas motosikal dan jika terjatuh, ia akan dipukul sekuatnya dengan alatan seperti besi, palang atau tangan.

"Menurut pengadu, Max sudah didera berulang-kali oleh majikannya, namun tiada kakitangan yang berani menyuarakan kejadian kerana takut dipecat.

"Pengadu sudah menasihati majikannya untuk menghentikan perbuatan terbabit, namun pelaku mengugut mahu memukul haiwan itu sehingga mati jika menegurnya lagi selain mendakwa memiliki senapang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Kalaivanan, disebabkan buntu dan tiada daya untuk melawan, pengadu mengambil keputusan untuk melaporkan kes itu kepada pihak polis.

Katanya, pengadu sanggup dipecat kerana tidak tahan melihat penganiayaan yang dilakukan pelaku terhadap Max.

"Bagi pihak SAFM, saya mengucapkan terima kasih di atas keberanian pengadu mengambil risiko demi melaporkan jenayah itu sekali gus menegakkan keadilan untuk Max.

"Perbuatan lelaki berkenaan menunjukkan pelaku adalah seorang individu yang tidak wajar diberi lesen pemilikan senapang.

"Perkara ini harus dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk memastikan hanya individu yang mempunyai akal yang waras dan layak sahaja diberikan lesen senjata api," katanya.

Katanya, kekejaman dan penganiayaan yang dilakukan terhadap Max menjadi kesalahan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 .

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,00 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"SAFM berharap dan memohon Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam hal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 3:01 PM