ANJING ditinggalkan pemiliknya di sebuah pangsapuri dekat Setapak sejak dua bulan lalu. FOTO Ihsan SAFM
ANJING ditinggalkan pemiliknya di sebuah pangsapuri dekat Setapak sejak dua bulan lalu. FOTO Ihsan SAFM
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Malang nasib seekor anjing yang dipercayai ditinggalkan pemiliknya di dalam sebuah pangsapuri dekat Setapak, di sini, sejak dua bulan lalu, dengan makanan dan minuman haiwan itu tidak terurus.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) R Kalaivanan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu kelmarin daripada penduduk kawasan terbabit.

Katanya, penduduk itu mengesyaki ada anjing di dalam rumah itu selepas sering mendengar bunyi haiwan berkenaan menyalak.

"Jiran yang tinggal berhampiran mengadu sering mendengar bunyi anjing menyalak sehingga mengganggu mereka dan ia membuatkan mereka tertanya-tanya.

"Aduan itu dipanjangkan kepada jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) bangunan yang kemudian menghubungi pemilik unit rumah berkenaan.

"Menurut pemilik, penyewanya sudah lama meninggalkan unit miliknya itu dan dia (pemilik rumah) belum memeriksa keadaan rumah, malah tidak sedar ada seekor anjing ditinggalkan begitu saja," katanya dalam satu kenyataan di Facebook (FB) SAFM, hari ini.

ANJING diselamatkan Kalaivanan yang dibiarkan tidfak terusrus di sebuah kediaman pangsapuri. FOTO Ihsan SAFM
ANJING diselamatkan Kalaivanan yang dibiarkan tidfak terusrus di sebuah kediaman pangsapuri. FOTO Ihsan SAFM

Menurut Kalaivanan, usaha menyelamatkan anjing itu dilakukan kira-kira 2 petang kelmarin pada hari sama aduan diterima.

Katanya, dia datang bersama empat ahli SAFM dan terkejut selepas mendapati keadaan anjing berkenaan yang tidak terurus ketika ditemui.

"Kami dapat masuk ke dalam rumah itu dengan bantuan cucu pemilik rumah yang mewakili neneknya.

"Selepas masuk ke dalam rumah, kami dapati anjing itu dalam keadaan kelaparan dan bersendirian.

"Najisnya bersepah di dalam rumah tanpa makanan dan minuman langsung ditinggalkan.

"Runtun hati kami melihat anjing itu yang trauma dan ketakutan apabila dihampiri tetapi berjaya diselamatkan dengan dimasukkan ke dalam sangkar," katanya.

Kalaivanan berkata, anjing itu kini berada di rumah perlindungan diberi nama KC Valley Animal Shelter milik lelaki dikenali Mr KC.

Katanya, dia mewakili SAFM mengucapkan terima kasih kepada Mr KC kerana memberi perlindungan kepada anjing itu sementara kes dipanjangkan ke Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

"Inisaitif SAFM pula adalah membuka tabung bantuan kepada Mr KC dan rumah perlindungannya supaya dapat terus membantu haiwan yang memerlukan serta teraniaya," katanya.

Katanya, menjadi satu kesalahan jenayah bagi individu meninggalkan mana-mana haiwan peliharaan dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan itu mengalami trauma, kesakitan atau penderitaan atas sebab penempatan semula, kebuluran, dahaga, kecederaan atau penyakit.

"Kesalahan itu termaktub di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 Seksyen 29.

"Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau boleh dipenjarakan selama tempoh tiga tahun atau kedua-keduanya sekali.

"Untuk itu, jadilah pemilik yang bertanggungjawab dan jangan aniaya haiwan jika tidak mampu memeliharanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 10:34 PM