TAN Sri Muhyiddin Yassin (kiri) menyampaikan watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah kepada Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim di Parlimen hari ini. FOTO Bernama
TAN Sri Muhyiddin Yassin (kiri) menyampaikan watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah kepada Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim di Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik tujuh ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 Julai lalu hingga 14 Julai 2024.

Kesemua dilantik itu adalah dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili kerajaan dan pembangkang.

Surat pelantikan bagi kesemua tujuh ahli JKMR itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Parlimen di sini, tadi.

Menurut kenyataan SPRM, pelantikan ahli JKMR itu atas nasihat Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

"Ahli yang dilantik ialah Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Seri Rais Yatim yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi; empat ahli Dewan Negara iaitu Md Nasir Hashim, Raj Munni Sabu, Idris Ahmad dan Zaiedi Suhaili.

"Selain itu ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai," katanya semalam.

Mengulas mengenai peranan JKMR, SPRM berkata, mereka akan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.

"Selain itu, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengenai perjalanan oleh SPRM akan fungsi bawah Akta SPRM 2009 dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan LPPR," katanya.

Dalam pada itu, SPRM berharap dengan pelantikan ahli JKMR itu ia dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 4:34 PM