Nor Aziah Jaafar
Nor Aziah Jaafar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Nilai kompaun sehingga RM5 juta bakal dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan pencemaran disifatkan wajar dan setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya akan melaksanakan arahan kompaun itu apabila pindaan berkenaan berkuatkuasa kelak.

"Kompaun sedia ada sebanyak RM2,000 gagal menjadikan industri atau syarikat gentar kerana mereka mampu membayarnya sedangkan kos bagi memulihkan pencemaran yang berlaku jauh lebih tinggi daripada itu.

"JAS Selangor berharap nilai kompaun baharu ini akan dapat menghalang pihak industri, syarikat atau mana-mana pihak membuang dan melepaskan sisa buangan ke sumber air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Aziah berkata, pihaknya sentiasa memantau tahap pematuhan punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran.

"Di Selangor, tiga lokasi tertinggi punca pencemaran yang berada di bawah kawalan JAS membabitkan tiga daerah iaitu Petaling (5,950), Klang (4,611) dan Hulu Langat (2,913).

"Itu adalah punca pencemaran yang berpotensi termasuk pencemaran udara, air dan sisa berjadual.

"Jumlah berkenaan merujuk kepada bilangan kilang atau industri, projek pembangunan dan loji kumbahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 3:41 PM