Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor Nor Aziah Jaafar.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor Nor Aziah Jaafar.
BERNAMA

Shah Alam: Bagai tiada kesudahan, begitu keadaan pencemaran di Kuala Langat dengan kesan buruk dihadapi daripada aktiviti perkilangan dan industri terutama kewujudan kilang haram yang membawa onar kepada alam sekitar.

Sehingga 18 Disember tahun ini, 114 aduan berasas diterima Jabatan Alam Sekitar (Jas) Selangor membabitkan pelbagai isu pencemaran di Kuala Langat.

Walaupun aduan berasas yang diterima menurun berbanding tahun 2018 (206 aduan) dan 2019 (196 aduan) namun jumlah itu masih lagi membimbangkan.

Aktiviti kilang haram yang semakin berleluasa menjadikan kawasan Kuala Langat berpotensi tinggi untuk berlaku pencemaran.

Kilang haram itu merangkumi kilang yang dibina di atas tanah berstatus pertanian tanpa menukar syarat kepada tanah industri dan kilang yang tidak mempunyai lesen serta kebenaran merancang.

Di Selangor terdapat kira-kira 5,600 kilang haram dan sehingga kini hanya 1,200 sahaja yang membuat permohonan untuk Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

Pengarah Jas Selangor, Nor Aziah Jaafar mengakui Kuala Langat antara daerah yang menjadi tumpuan pengusaha kilang haram di Selangor dengan jumlah yang direkodkan dalam bancian yang dibuat Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat sebanyak 186 kilang.

"Apa yang membimbangkan, sejak kerajaan negeri membuka peluang program pemutihan hanya 15 permohonan daripada kilang yang diterima Pejabat Tanah dan Galian Kuala Langat.

"Sebanyak empat permohonan dibincangkan pada Mesyuarat yang dipengerusikan Pegawai Daerah Kuala Langat dan diluluskan manakala 11 lagi permohonan masih diproses.

"Sebanyak 171 kilang haram lagi masih tidak membuat sebarang tindakan untuk memastikan operasi mereka dilakukan secara betul mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran membuat permohonan dan sekiranya mereka masih ingkar, kerajaan negeri tidak teragak-agak merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.

Selain faktor ekonomi kerana kilang ini tidak membayar hasil kepada kerajaan, kilang haram ini mudah melakukan pencemaran alam sekitar kerana aktiviti mereka tidak dipantau, katanya.

"Kebanyakan kilang yang beroperasi di Kuala Langat banyak membabitkan kilang kitar semula antaranya tayar terpakai, sisa plastik dan kilang bateri.

'Walaupun begitu, tindakan JAS tidak hanya tertumpu kepada kilang haram sebaliknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana kilang walaupun berlesen yang melanggar peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Sehingga kini terdapat 884 premis di Kuala Langat yang berdaftar dengan JAS membabitkan 596 industri, 275 bukan industri seperti gudang, bengkel dan klinik, enam kilang kelapa sawit dan tujuh premis yang ditetapkan buangan terjadual.

Menurut Nor Aziah, pembongkaran secara besar-besaran aktivti kilang haram di Kuala Langat dilakukan secara agresif pada tahun lalu dengan menggempur 42 buah premis memproses sisa plastik, yang diimport dari luar negara dan dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang.

"Kesalahan utama pengusaha kilang plastik ini kerana memproses plastik dengan mencairkannya tanpa menggunakan sebarang alat penapisan yang menyebabkan pencemaran bau dan udara.

"Sebanyak 16 daripada 43 kilang itu dibuka kertas siasatan dan dibawa ke mahkamah serta dikenakan denda dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta," katanya.

Menurut beliau, selain kedudukan Kuala Langat yang hampir dengan Pelabuhan Klang, kawasan di sini yang masih membangun dan mempunyai kawasan hijau yang luas antara sebab menjadi pilihan tauke-tauke kilang haram beroperasi bagi memudahkan mereka berselindung terutama di kawasan yang terpencil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 5:51 PM