KEADAAN longgokan sampah yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN longgokan sampah yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
Ruwaida Md Zain


Klang: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor menafikan dakwaan pembuangan bahan kimia, sisa berjadual di dalam tong di kawasan perumahan berhampiran Kampung Pendamar, di sini seperti tular di media sosial.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar sebaliknya berkata, tinjauan pihaknya petang semalam mendapati hanya longgokan sampah haram yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

"Gambar sisa berjadual dalam tong bukan di lokasi yang dimaksudkan, itu di lokasi lain. Semalam kami sudah ke kawasan berkenaan dan membuat siasatan mengenainya.

"Pihak kami tidak menemuinya (sisa berjadual, bahan kimia), semua sampah domestik dan binaan serta tiada sisa berjadual," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Aziah berkata, siasatan lanjut mendapati kawasan yang dimaksudkan di dalam video berkenaan adalah tapak pelupusan sampah haram seluas 3.64 hektar.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui dua orang pekerja dipercayai digaji oleh operator haram untuk melakukan kerja-kerja pelupusan sampah.

"JAS Selangor sudah merujuk isu ini kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk mengambil tindakan ke atas operator haram terbabit.

"Kita juga sudah merujuk kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang untuk tindakan ke atas pemilik tanah kerana salah guna syarat nyata tanah," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi satu minit menunjukkan gambar sisa berjadual dalam tong, longgokan sampah yang didakwa berhampiran penempatan penduduk di Kampung Pendamar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 9:42 PM