Notis henti operasi dikeluarkan JAS terhadap sebuah kilang sarung tangan di kawasan perindustrian Meru di Klang. (Gambar kanan) Air sisa yang dihasilkan kilang tanpa mengikut peraturan ditetapkan. Foto FB Tuan Ibrahim Tuan Man
Notis henti operasi dikeluarkan JAS terhadap sebuah kilang sarung tangan di kawasan perindustrian Meru di Klang. (Gambar kanan) Air sisa yang dihasilkan kilang tanpa mengikut peraturan ditetapkan. Foto FB Tuan Ibrahim Tuan Man
Norzamira Che Noh


Klang: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan tiga kompaun terhadap sebuah kilang membuat sarung tangan di kawasan perindustrian Meru di sini, dalam satu serbuan pada Sabtu lalu.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata, menerusi serbuan Ops Sahur yang dijalankan pada 1 pagi itu, premis berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Pemeriksaan mendapati loji rawatan air sisa kilang itu tidak berfungsi mengikut kapasiti yang dibina, air sisa yang terhasil melebihi keupayaan akibat pengeluaran yang berlebihan.

"Kami juga mendapati loji berkenaan tidak diselia dan dipantau oleh individu yang kompeten semasa serbuan. Justeru, kilang berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kilang berkenaan kemudiannya diarah henti operasi (tutup) dan perlu melaksanakan kerja pembaikan.

Katanya, kilang itu akan dibenarkan kembali beroperasi selepas pihak JAS berpuas hati dengan kerja pembaikan seperti yang diarahkan.

Mengulas lanjut, Nor Aziah berkata, kilang terbabit mula beroperasi pada tahun lalu dan mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, ketika serbuan dijalankan terdapat beberapa pekerja dan penyelia syif malam bertugas.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan menunggu keputusan analisis kimia sampel air sisa kilang yang dijangka diperolehi minggu hadapan," katanya.

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi Facebook rasminya berkongsi kejayaan JAS Selangor.

"JAS tahan operasi kelengkapan sebuah kilang membuat sarung tangan dalam Ops Sahur di kawasan perindustrian Meru, Klang.

"Tiga kompaun dikenakan ke atas kilang tersebut kerana pelbagai kesalahan dan kegagalan mematuhi kehendak di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 12:37 PM