Nor Aziah Jaafar
Nor Aziah Jaafar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tindakan kompaun serta merta diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor terhadap kilang memproses kelapa sawit di Jalan Rinching Hulu, Semenyih, yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih semalam.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan selepas premis itu gagal memaklumkan pada JAS mengenai insiden limpahan dalam tempoh enam jam daripada masa kejadian.

"Tindakan kompaun serta merta sudah diambil mengikut Peraturan 20(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 selepas loji itu terpaksa dihenti tugas.

"Pihak JAS juga sedang melengkapkan siasatan jika ada unsur kecuaian di pihak kilang dalam tugas penyelenggaraan sistem perparitan kilang hingga menyebabkan limpahan berlaku," katanya semalam.

Beliau berkata, jabatan itu juga mengarahkan pemilik premis mengambil tindakan pembaikan segera.

"JAS memberi tempoh lima hari kepada pemilik untuk melaksanakan kerja pembaikan. Sekiranya mereka gagal melaksanakan tindakan seperti diarahkan, pihak kilang boleh dikenakan tindakan Mahkamah mengikut Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Semalam, media melaporkan sisa daripada sebuah kilang memproses kelapa sawit dipercayai menjadi punca berlaku pencemaran bau yang menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentikan tugas pada jam 10.15 pagi sehingga jam 12.45 tengah hari kerana berlaku pencemaran di Sungai Semenyih.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, berkata berikutan kejadian itu, tugas merawat air di LRA Sungai Semenyih terganggu kira-kira dua setengah jam sebelum operasi dan bekalan air disambung semula pada jam 1.45 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 3:09 PM