GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebuah syarikat pemaju perumahan didenda RM125,000 di Mahkamah Sesyen Selayang, semalam kerana melanggar syarat Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, syarikat terbabit dikenakan hukuman itu kerana menjalankan aktiviti kerja tanah tanpa terlebih dahulu mengemukakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang diluluskan Jas.

"Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu selepas wakil syarikat pemaju perumahan terbabit mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan dikenakan kepadanya.

"Menurut pertuduhan pada 7 Julai tahun lalu, syarikat terbabit didapati menjalankan kerja tanah (earthworks) tanpa terlebih dahulu mengemukakan EMP di satu tapak projek perumahan di Mukim Rawang, Gombak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nor Aziah berkata, EMP sangat penting sebagai penggerak projek menyediakan rangka kerja untuk mengurangkan kesan pencemaran yang signifikan dan seterusnya menjadikan risiko pencemaran itu berada di tahap paling mininum yang ditetapkan Jas.

Beliau berkata, objektif utama EMP adalah memastikan pelaksanaan langkah pencegahan pencemaran dapat dipertimbangkan.

Menurutnya, dalam erti kata lain Langkah P2M2 atau 'Pollution Prevention and Mitigation Mesaures' bagi sesebuah projek pembangunan yang sudah diluluskan EIA.

"Jas sentiasa akan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

"Terima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti mencemarkan alam sekitar.

"Saya menggesa orang awam melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 3:08 PM