ARAB Saudi sebelum ini dikaitkan berminat untuk membida menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036. FOTO AFP
ARAB Saudi sebelum ini dikaitkan berminat untuk membida menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036. FOTO AFP
Reuters

London: Masih terlalu awal untuk mengaitkan Arab Saudi mahu membida selaku tuan rumah Sukan Olimpik 2036, sebaliknya Jawatankuasa Olimpik negara itu hanya memberi tumpuan untuk memastikan prestasi yang baik di Paris pada Julai dan Ogos, kata ketua media, Abdulaziz Albaqous.

Arab Saudi yang kaya dengan hasil minyak muncul sebagai pemain utama dalam sukan dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi pelaburan yang menarik.

Ia menjadikan negara itu berada di kedudukan teratas untuk menganjurkan acara bola sepak, golf, perlumbaan motor dan sukan berprofil tinggi lain.

Bagaimanapun dalam konteks Olimpik, Arab Saudi kekal sebagai negara kerdil apabila hanya meraih dua perak dan dua gangsa daripada 12 temasya yang disertai sebelum ini.

Seramai 33 atlet yang bertanding di Tokyo tiga tahun lalu adalah delegasi terbesar pernah mereka hantar ke Sukan Olimpik dan pingat perak Tareg Hamedi dalam sukan karate memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

Dengan Arab Saudi menjadi tuan rumah Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2034 dalam bola sepak selain Sukan Asia 2034, khabar angin negara itu akan membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036 tidak dapat dielakkan.

Namun pengarah komunikasi korporat dan hubungan antarabangsa bagi Jawatankuasa Olimpik Saudi, Albaqous menafikan ada sebarang usaha untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2036.

"Sudah tentu kerajaan sentiasa bercita-cita untuk menganjurkan sebarang acara antarabangsa yang penting, tetapi masih terlalu awal untuk bercakap mengenai Sukan Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 10:25 AM