KEADAAN kilang baja kompos yang diserbu dalam operasi bersepadu oleh JAS Negeri Selangor, MDHS, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, LUAS dan PDRM. FOTO ihsan JAS
KEADAAN kilang baja kompos yang diserbu dalam operasi bersepadu oleh JAS Negeri Selangor, MDHS, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, LUAS dan PDRM. FOTO ihsan JAS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebuah kilang baja kompos di kawasan Hulu Selangor yang dipercayai menjadi punca pencemaran air dan bau diarahkan menghentikan operasi serta merta dalam serbuan, pagi semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Noor Aziah Jaafar berkata, kilang itu diserbu dalam satu operasi bersepadu membabitkan JAS, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan polis adalah hasil aduan awam.

"Hasil operasi selama tiga jam bermula pada 10 pagi itu berjaya menemukan kilang yang menjalankan aktiviti membuat baja organik kompos.

"Ketika serbuan, kami mendapati keadaan kilang tidak terurus dan terdedah menyebabkan air hujan bercampur dengan sisa-sisa pokok dan bahan organik menghasilkan air hitam yang busuk.

"Air hitam berkenaan seterusnya mengalir keluar ke longkang premis sehingga menyebabkan pencemaran air dan bau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Aziah berkata, ketika serbuan juga, ada pekerja sedang mengoperasikan jentolak untuk menggaul campuran baja.

"Pengarah syarikat yang mengendalikan kilang terbabit datang semasa serbuan dilakukan dan memberi kerjasama kepada kami," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, kilang itu mendapat kelulusan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) atas faktor perkhidmatan perlu.

"Bagaimanapun, kita mendapati kilang terbabit tidak memiliki sebarang lesen daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.

"Operasi kilang itu juga dijalankan tanpa kelulusan Laporan EIA daripada JAS. Sehubungan itu, Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas peralatan proses dikenakan memgikut Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 2:00 PM