SEORANG lelaki warga Myanmar yang menunggang motosikal maut selepas melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Taman Emas. FOTO Ihsan PDRM
SEORANG lelaki warga Myanmar yang menunggang motosikal maut selepas melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Taman Emas. FOTO Ihsan PDRM
RoselanAb Malek

Lipis: Seorang lelaki warga Myanmar yang menunggang motosikal maut selepas melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Taman Emas, di sini, semalam.

Mangsa, Mahbu Rahman Shobi Rahman, 31, seorang pekerja pembersihan, menunggang motosikal jenis Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan muka.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan polis mendapati mangsa menunggang motosikalnya secara melawan arus dari arah taman perumahan menghala keluar ke jalan utama dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah mengelak sebuah kereta yang melalui jalan itu lalu terbabas dan melanggar sebuah lori jenis Isuzu yang diparkir di bahu jalan tanpa pemandu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian akibat parah di kepala dan muka," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan polis juga mendapati kedua-dua kenderaan terbabit adalah milik syarikat kontrak pembersihan yang sama di Taman Emas, Kuala Lipis.

"Bedah siasat akan dijalankan selepas ujian Covid-19 ke atas mangsa hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 10:46 AM