SEORANG pelajar maut dalam perjalanan ke sekolah apabila motosikal yang ditunggangnya dengan pacuan empat roda di KM 23, Jalan Lipis - Merapoh dekat Kechau. FOTO Ihsan PDRM
SEORANG pelajar maut dalam perjalanan ke sekolah apabila motosikal yang ditunggangnya dengan pacuan empat roda di KM 23, Jalan Lipis - Merapoh dekat Kechau. FOTO Ihsan PDRM
Roselan Ab Malek

Lipis: Pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah, maut apabila motosikal ditunggang bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 23, Jalan Lipis - Merapoh dekat Kechau di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa dikenali Ahmad Majidi Eswady, 19, yang menunggang motosikal Modenas Kriss 100, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan dada.

Katanya, ketika kemalangan kira-kira 7 pagi itu, mangsa dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku, manakala pemandu Mitsubishi Triton berusia 75 tahun hendak ke kilang kayu di Kechau.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu gagal mengawal kenderaannya dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

"Akibat pertembungan, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi sementara pemandu kenderaan itu cedera di kepala dan kaki kanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, pemandu dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan, manakala mayat Ahmad Majidi dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk pengebumian.

Menurutnya, pihaknya juga mengambil sampel darah dan melakukan ujian air kencing ke atas pemandu bagi mengesan sama ada terdapat kandungan alkohol serta dadah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 2:30 PM