Siti Rohana Idris


Jeli: Pengalaman berpeluang meredah Sungai Pergau dengan menaiki rakit dimanfaatkan sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Ali Biju.

Bermula dari Kampung Dendong di sini, beliau yang hadir sempena Program Eksplorasi Ekopelancongan Sumber Asli KeTS di negeri ini mencuba aktiviti 'tubing' sebelum 'menukar selera' mendayung rakit.

Menyifatkan situasi itu mengingatkannya dengan zaman kecilnya di kampung halaman di Saratok, Sarawak, beliau tangkas mengemudi rakit yang dinaikinya bersama dua lagi peserta sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km).

"Sangat seronok, terasa macam zaman kecil (kanak-kanak) saya semasa di kampung di Sarawak.

"Masih lagi bertenaga cuma sekadar melepaskan rindu sahaja selain menikmati pemandangan di sekeliling Sungai Pergau dan beramah mesra dengan penduduk setempat," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Ali dan semua 50 peserta program yang terdiri daripada kakitangan KeTSA, pemimpin tempatan, media rasmi dan media sosil serta pempengaruh tiba di Gunung Reng di sini selepas kira-kira satu jam 40 minit mengemudi rakit.

Turut sama dalam ekspedisi berakit itu ialah Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan, Zaidi Daud.

Terdahulu beliau hadir di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) di sini, dan melawat beberapa tanaman yang ditanam di kawasan seluas 202 hektar selain tidak melepaskan peluang ke Lata Mawar yang agak popular dalam kalangan penduduk di daerah itu.

Ali berkata, tujuan penganjuran program itu adalah untuk menyebarluaskan maklumat berhubung lokasi pelancongan seliaan KeTSA di sekitar Kelantan untuk merancakkan industri ekopelancongan di negeri ini.

"Selain itu, ia juga adalah untuk memberi maklumat kepada orang ramai melalui saluran media rasmi, media sosial atau apa sahaja platform yang relevan digunakan pada masa sekarang.

"Inisiatifnya bagi memberi kesedaran kepada semua golongan rakyat betapa pentingnya kita memelihara khazanah negara," katanya.

ALI Biju (kanan) menaiki tubing menyusu Sungai Pergau bermula dari Kampung Dandong, sebelum mengemudi rakit sejauh 1.5km. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ALI Biju (kanan) menaiki tubing menyusu Sungai Pergau bermula dari Kampung Dandong, sebelum mengemudi rakit sejauh 1.5km. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 2:09 PM